London: Jose Mourinho ‘berdamai’ dengan Bobby Charlton (gambar, kiri) ketika pengurus baharu Manchester United itu bertemu ikon Old Trafford berkenaan di padang latihan kelab di Carrington, kelmarin.

Charlton pernah beberapa mengkritik Mourinho dan difahamkan beliau antara individu yang paling keras membantah pelantikan Mourinho apabila mereka sedang mencari pengganti Alex Ferguson pada 2013.

Charlton, 78, yang juga Ahli Lembaga Pengarah United, turut mengkritik Mourinho pada 2012 selepas pengendali itu mencederakan mata penolong jurulatih Barcelona Tito Vilanova ketika berbalah di luar padang dan berkata: “Seorang pengurus United tidak akan melakukan perkara seumpama itu. Mourinho seorang jurulatih yang bagus tapi sikapnya tidak matang.

“Walaupun beliau seorang yang bagus, ia masih tidak cukup untuk menarik minat saya.”

Walaupun dikritik Charlton, ia tidak menghalang United daripada melantik Mourinho minggu lalu dan bekas jurulatih Chelsea itu hadir bagi menggantikan David Moyes dan Louis van Gaal yang dilabel gagal.

Ketika Mourinho dibawa melawat pusat latihan United, beliau sempat bertemu Charlton tetapi jurulatih berusia 53 tahun dilihat sudah melupakan semua kritikan yang pernah dilemparkan kepadanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Jun 2016 @ 8:51 AM