Ahmad Maslan  menerima momento kenangan daripada Marzieh.
Ahmad Maslan menerima momento kenangan daripada Marzieh.
Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) melihat tindakan Amerika Syarikat membatalkan sekatan perdagangan terhadap Iran pada Januari lalu memberi kesan positif kepada peningkatan dagangan dua hala antara negara berkenaan dengan negara asing lain termasuk Malaysia.

Perkara itu membolehkan lebih ramai pemain industri tempatan terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) meneroka pasaran di negara berkenaan yang menjadi lokasi strategik bagi mengeksport barangan keluaran mereka ke Eropah dan Asia Tengah.

Timbalan Menterinya, Datuk Ahmad Maslan berkata, sektor halal dilihat berpotensi tinggi untuk pemain PKS tempatan dalam kalangan Bumiputera untuk melebarkan perniagaan mereka ke pasaran asing itu.

Beliau berkata, eksport produk halal ke Iran pada 2015 bernilai RM320 juta dan antara produk menjadi penyumbang utama ialah makanan dan minuman bernilai RM107.3 juta, hasil minyak sawit (RM101.3 juta), ramuan halal (RM90.5 juta) serta kosmetik dan penjagaan diri (RM17.5 juta).

“Meneroka pasaran Iran sememangnya satu potensi besar untuk pemain industri Malaysia kerana negara berkenaan mempunyai 80 juta penduduk.

“Malah, kedudukan Iran di tengah-tengah Asia Barat dan Eurasia menjadikan negara itu pintu masuk strategik menembusi pasaran halal rantau sekitarnya yang didiami 400 juta penduduk,” katanya pada selepas merasmikan forum peluang perniagaan halal di Iran, di sini, semalam.

Forum anjuran Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) dengan kerjasama Majlis Perniagaan Iran-ASEAN bertujuan menjelaskan amalan serta standard bagi memudahkan akses ke Iran dan pasaran halal di rantau sekitarnya.

Eksport produk halal ke Iran pada 2015 mencatatkan RM320 juta, meningkat daripada RM275 juta pada tahun sebelumnya dan ia mampu berkembang pada kadar 20 peratus tahun ini.

Sementara itu, Duta Iran ke Malaysia Marzieh Afkham menggesa kalangan pengeksport Malaysia menjadikan Iran sebagai platform menembusi pasaran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Jun 2016 @ 7:07 AM