Status FB Aina Mardiah, 19, memohon sumbangan untuk melanjutkan pelajaran ke Mesir. - Foto Facebook
Status FB Aina Mardiah, 19, memohon sumbangan untuk melanjutkan pelajaran ke Mesir. - Foto Facebook
Mazizul Dani


Kuala Lumpur: Keikhlasan dan kemurahan hati rakyat Malaysia menghulurkan sumbangan kini membolehkan Aina Mardiah Mohd Zanani, 19, dari Tanah Merah, Kelantan, mencapai impiannya melanjutkan pelajaran ke ke Universiti Al Azhar, Mesir.

“Ya Allah, memang tak terucap dengan kata-kata. Saya terharu kepada semua yang sudi membantu dan memberi semangat.

“Ikhlas itu mahal nilainya, namun MasyaAllah, hati yang dermawan, InsyaAllah tidak akan pernah kering," katanya yang bersyukur dengan sumbangan orang ramai selepas dia memuat naik status di Facebook (FB) memohon sumbangan.

Menurutnya, hasil sumbangan itu membolehkan perbelanjaan pengurusan sebelum berangkat sudah mencukupi.

“Saya doakan moga Allah SWT membalas mereka yang membantu agar sejahtera dan damai dunia akhirat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Namun, dia masih risaukan mengenai perbelanjaan untuk menampung kos sara hidup sepanjang pengajian selama empat tahun nanti.

Aina Mardiah dijangka berangkat ke Mesir selepas Aidilfitri untuk melanjutkan pelajaran peringkat Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam (Syariah Islamiah).

"Saya hanya ingin mencuba nasib memohon sumbangan ini supaya impian melanjutkan pelajaran ke Universiti Al Azhar terlaksana dan tak sangka status saya dikongsi 10 ribu kali.

“Setiap kali dalam doa, kalau betullah ditakdirkan saya akan menyambung pelajaran di Mesir, Allah SWT akan mempermudahkan,” katanya.

Aina Mardiah, anak kelima daripada 10 beradik, berasal dari Kampung Bukit Mas, Tanah Merah, tidak menerima sebarang tajaan dan bercadang memohon bantuan zakat daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

“Tujuan saya memohon sumbangan bagi meringankan beban bapa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dan ibu yang tidak bekerja.

“Pendapatan bapa hanya RM900 sebulan dan perlu menanggung enam lagi adik yang masih bersekolah," katanya yang sebelum ini belajar di Maahad Ahmadi Tanah Merah.

Mereka yang mahu membuat sumbangan kepada Aina boleh melakukannya menerusi akaun Maybank (503051515074) atas nama Aina Mardiah Mohd Zanani.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mei 2016 @ 10:23 PM