MRV dihasilkan sesuai untuk digunakan dalam operasi menyelamat sewaktu bencana alam.
MRV dihasilkan sesuai untuk digunakan dalam operasi menyelamat sewaktu bencana alam.
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: LWK Green Technologies (LWK Green) menyasarkan kenderaan penyelamat pelbagai gunanya (MRV) versi ke-2 yang dihasilkan sepenuhnya di negara ini akan menembusi pasaran antarabangsa iaitu di Afrika Selatan, Hong Kong, Singapura, Indonesia, Thailand dan China menjelang akhir tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Low Wai Koon berkata, pihaknya memperuntukkan lebih RM5 juta bagi tujuan kajian dan pembangunan (R&D) MRV yang akan dikomersialkan ini.

Katanya, menerusi perkongsian strategik dengan WKL One Group, setakat ini syarikat berjaya menghasilkan tiga lagi prototaip MRV serta dalam proses mengkomersialkan produk terbabit.

“Bagi pasaran Malaysia, kami menyasarkan untuk menjual sekurang-kurangnya 300 unit MRV iaitu model pertama seumpamanya di dunia yang dilengkapi tujuh fungsi ciri utama kemudahan dan keselamatan.

“Kami juga menerima permintaan daripada beberapa syarikat dalam industri peralatan mencari dan menyelamat, termasuk dari Kanada, Amerika Syarikat, Taiwan dan Australia sekali gus memperlihatkan minat terhadap ciptaan MRV ini,” katanya di majlis memeterai perjanjian di sini, semalam.

Hadir menyaksikan, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Dr Abu Bakar.

Low berkata, MRV dianggap kenderaan penyelamat yang mempunyai kelebihan yang pelbagai kerana mampu menjalankan misi menyelamat dengan semua jenis keadaan muka bumi serta bencana alam seperti gempa bumi, banjir, taufan dan tsunami.

Menurutnya, MRV juga mempunyai keupayaan memadam kebakaran, menghasilkan kuasa elektrik sehingga 20 kiloWatt (kW) melalui set jana kuasanya, selain memiliki sistem transmisi kalis air dan berupaya menyelam sehingga kedalaman 1.8 meter serta menyediakan air osmosis berbalik (RO).

Harga bagi satu unit MRV dijual pada harga AS$650,000 dan lebih kurang RM2 juta dengan pelbagai fungsi yang terdapat dalamnya.

Sementara itu, Low berkata, LWK Green juga dalam perancangan untuk tersenarai menerusi tawaran awam permulaan (IPO) di Hong Kong pada 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mei 2016 @ 7:08 AM