TENAGANYA masih sama seperti 10 tahun lalu.
TENAGANYA masih sama seperti 10 tahun lalu.
TAMPIL menggoda di atas pentas.
TAMPIL menggoda di atas pentas.
RAIN kembali dengan konsert besar selepas lima tahun.
RAIN kembali dengan konsert besar selepas lima tahun.
Georgie Joseph


Ramai merindui persembahan penuh bertenaga pelopor fenomena K-Pop, Rain. Apatah lagi sebelum ini dia menyepi seketika kerana perlu melunaskan tanggungjawabnya sebagai rakyat Korea Selatan dengan menyertai khidmat ketenteraan.

Dan, selepas lima tahun tidak menjayakan persembahan berskala besar, penyanyi dan pelakon terkenal ini membuatkan peminatnya ‘histeria’ ketika beraksi dalam konset Rain: The Squall Tour in Malaysia 2016 di Arena of Star, Genting Highlands Sabtu lalu.

Disaksikan kira-kira 3,000 penonton, Rain tampil hebat sepanjang persembahan bahkan staminanya cukup luar biasa.

Terbukti figura berusia 33 tahun ini masih ‘hot’ malah gerak-gerinya yang mempesonakan membuatkan suasana pada malam itu cukup hangat.

Rain sudah melakukan persiapan terbaik bagi memastikan konsertnya meninggalkan impak mendalam malah majoriti penonton berpuas hati.

Bukan sekadar memuaskan halwa telinga penonton dengan nyanyian hebatnya bahkan kelincahan Rain menjentik hati pengikut setianya.

Sesekali Rain mengundang rasa cemburu peminat apabila beraksi manja dengan penari wanita.

Paling dinanti adalah aksi wajibnya iaitu membuka baju dan menayangkan bentuk badannya yang sasa. Pun begitu, dalam konsert kali ini tiada aksi itu kerana Rain faham dan peka dengan sensitiviti rakyat Malaysia.

“Maaf, kalau saya buka baju, nanti konsert ini akan....,” katanya tanpa menghabiskan ayatnya.

Ada sesekali Rain mempamerkan aksi seksi tetapi tidak keterlaluan. Dengan penuh berhati-hati, dia mengoyakkan bajunya sedikit sekali gus menampakkan bahagian bahu dan dadanya.

Rain membuka tirai persembahan dengan lagu Its Raining, I’m Coming, Hip Song, Love Story, In My Bed, Only You, One, Bad Guy dan Stay Away From The Sun.

Kehangatan konsert diteruskan dengan lagu Instead of Goodbye, You, La Song, Love Song, I Do, I Love You, 30 Sexy, Rainism, La Song (remix) dan diakhiri dengan Pumps And Bump.

Rain juga bijak mengambil hati peminatnya sepanjang konsert. Tidak cukup dengan mengajak peminat menyanyi, menari, bertepuk tangan bersama, Rain beberapa kali turun dari pentas untuk mendekati penonton.

Interaksinya dengan penonton juga bagus malah dia memilih bertutur dalam bahasa Korea meskipun fasih berbahasa Inggeris.

Berikutan tidak berpuas hati dengan penterjemah, Rain kemudian memilih berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.

Rain atau nama sebenarnya Jung Ji Hoon, menghasilkan album pertama berjudul Gay Bad pada 2002. Dia meraih populariti mendadak menerusi drama Full House.

Rain berjaya mengembangkan bakat lakonan di persada antarabangsa apabila terpilih membintangi filem Speed Racer (2008) dan Ninja Assassin (2009).

Dia juga pernah tersenarai sebagai 100 Individu Paling Berpengaruh Dunia 2007 oleh majalah Time. Sepanjang tempoh 14 tahun, Rain melancarkan tujuh album dan namanya kembali meniti di bibir peminat apabila menjayakan drama Please Comeback Mister.

“Saya ada sediakan satu video istimewa buat kalian. Video ini memaparkan kisah saya pada zaman kanak-kanak dan kembara seni saya,” katanya sambil meminta peminat memberi tumpuan pada skrin gergasi di kiri dan kanan pentas.

Sebelum menjayakan konsert ini, Rain terlebih dahulu menghiburkan peminatnya di beberapa lokasi di China, Seoul dan Hong Kong. Malaysia adalah lokasi ke-10 konsert jelajah Rain: The Squall World Tour dan kemudian menggegarkan Jepun semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mei 2016 @ 10:43 AM