TEKNOLOGI BIM membolehkan pengurusan pembinaan projek hartanah dilakukan dengan lebih berkesan kerana segala aspek pembangunan boleh dirancang dan disesuaikan melalui penggunaan perisian BIM.
TEKNOLOGI BIM membolehkan pengurusan pembinaan projek hartanah dilakukan dengan lebih berkesan kerana segala aspek pembangunan boleh dirancang dan disesuaikan melalui penggunaan perisian BIM.
Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) terus aktif dalam melaksanakan inisiatif bersepadu sebagai agenda dalam memperkukuh industri pembinaan negara dengan pelbagai cara termasuklah memperkenalkan penggunaan teknologi bersepadu, iaitu Informasi Permodelan Bangunan (BIM).

Teknologi berkenaan sudah diguna pakai secara meluas syarikat pembinaan di negara maju seperti Amerika Syarikat (AS) dan Eropah yang berkesan menangani masalah pembaziran bahan mentah, masa dan kesilapan yang lazimnya wujud dalam pelaksanaan projek pembinaan.

Bagaimanapun, pelaksanaan inisiatif itu di Malaysia masih lagi berada di paras yang rendah memandangkan wujud pelbagai cabaran serta halangan yang menjadikannya sukar untuk dilaksanakan secara meluas.

Pengurus Besar Bahagian Teknologi dan Inovasi CIDB, Ir Noraini Bahri berkata, sehingga sekarang penyertaan penggiat industri pembinaan adalah rendah kerana kebanyakan mereka kurang pengetahuan mengenai teknologi berkenaan.

Beliau berkata, kos mendapatkan lesen perisian BIM menjadi punca utama teknologi berkenaan kurang menjadi perhatian kerana harganya mencecah RM40,000 untuk setiap stesen kerja.

“BIM mempunyai prospek yang menjanjikan pelbagai manfaat seperti jaminan projek untuk siap dalam tempoh masa dan belanjawan ditetapkan serta keputusan dapat dibuat dengan lebih cepat dan tepat kerana reka bentuk bangunan diilustrasikan dalam bentuk tiga dimensi (3D).

“Bagi sektor swasta, pengurusan projek seperti kos pembinaan, pengurusan dan penyelenggaraan dapat dijangka dengan lebih tepat sekali gus dapat menyumbang kepada harga kompetitif apabila ia siap,” katanya, di sini.

BIM adalah teknologi yang digunakan bagi kerja mereka bentuk dan pembinaan bangunan secara maya. Dengan teknologi itu, pasukan yang terbabit dalam pembinaan bangunan mampu mengurus bukan saja grafik, malah maklumat yang membenarkan penjanaan automatik lukisan dan laporan, reka bentuk, analisis serta pengurusan kemudahan yang tepat.

Noraini berkata, usaha merancakkan penggunaan BIM sentiasa dilakukan CIDB menerusi insiatif mewujudkan pangkalan data BIM bagi sektor pembinaan sedang giat dibangunkan untuk kegunaan pemain industri.

Setakat ini, terdapat dua projek kerajaan yang telah menggunakan teknologi BIM iaitu Kompleks Pentadbiran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Institut Kanser Negara (IKN) dan pada masa akan datang, kerajaan turut merancang untuk membina empat hospital awam di Kemaman, Terengganu; Pendang, Kedah; Maran, Pahang dan Pasir Gudang, Johor menggunakan BIM.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mei 2016 @ 5:03 AM