MENENTUSAHKAN pengenalan juruterbang antara sebahagian tanggungjawab Zaiton (kanan).
MENENTUSAHKAN pengenalan juruterbang antara sebahagian tanggungjawab Zaiton (kanan).
KERJAYA ini memberi kepuasan dan kebebasan kepada Norazizah.
KERJAYA ini memberi kepuasan dan kebebasan kepada Norazizah.
NORAZIZAH bersedia memandu van untuk mengagihkan kiriman ke lokasi yang dikehendaki.
NORAZIZAH bersedia memandu van untuk mengagihkan kiriman ke lokasi yang dikehendaki.
MEMUNGGAH dan menyisihkan bungkusan berat antara tugasan yang sudah biasa dilakukan Norazizah.
MEMUNGGAH dan menyisihkan bungkusan berat antara tugasan yang sudah biasa dilakukan Norazizah.
Yusliza Yakimir Abd Talib


Jika ditanya mana-mana wanita mengenai kerjaya yang diminati, pastinya bidang logistik tidak termasuk dalam senarai.

Berbeza buat dua wanita ini yang masing-masing kini menggalas tugas sebagai kurier dan ejen ramp di syarikat logistik, FedEx Malaysia, pilihan kerjaya itu mungkin agak janggal buat insan bernama wanita.

Namun, alah bisa tegal biasa, kedua-dua wanita ini berani menyahut cabaran dengan memilih sektor yang dipelopori lelaki tanpa ragu-ragu, malah menjadikan kerjaya itu sesuatu yang menyeronokkan.

Selain mengambil dan menghantar bungkusan, sebenarnya ramai yang tidak tahu tugasan di sebalik bidang ini. Tahukah kita wanita sudah melakukan kerja bukan tradisional dalam logistik di negara ini sejak dua dekad dahulu?

Zaiton Razali dan Norazizah Ismail ialah perintis dalam industri logistik tempatan yang dianggap suatu industri yang dikuasai kaum lelaki, dengan lelaki mengatasi bilangan wanita dalam pengedaran, pengangkutan dan pengurusan inventori.

Selaras dengan usaha meramaikan penyertaan wanita dalam industri ini, dasar peluang sama rata FedEx yang menggalakkan kepelbagaian dan amalan inklusif memungkinkan dua wanita ini menempa kedudukan kukuh dalam bidang kerjaya berkenaan.

Zaiton yang bertugas sebagai seorang ejen ‘ramp’ atau operasi ‘airside’ sejak 20 tahun lalu berkata, dia memang sukakan cabaran mental dan fizikal dalam pekerjaannya.

Wanita itu bekerja dengan satu pasukan seramai empat ejen ramp dan juga dengan satu lagi pasukan seramai empat orang secara bergilir-gilir.

Jadualnya tidak seperti waktu kerja biasa iaitu dari jam 9 pagi hingga 5 petang memandangkan tugasannya membabitkan kerja penyediaan kontena penerbangan bagi pengiriman keluar.

Dia dikehendaki mengira berat, mengenal pasti jenis pemuatan dan memastikan tiada pembaziran ruang di dalam pesawat.

Tugasannya juga termasuk menyiapkan borang beban pelan bagi menempatkan muatan di dalam pesawat, mengelola permintaan pelan penerbangan, dan mendapatkan kelulusan bagi pelepasan penerbangan daripada Pusat Operasi Global Memphis.

Maklumat terkini

Biarpun mendapat sokongan padu daripada syarikat dan rakan sekerja, kakitangan wanita ini tetap berdepan cabaran yang sama seperti rakan sejawat mereka.

“Salah satu cabaran harian yang dihadapi ialah memastikan diri sendiri menguasai keadaan setiap kali kapal terbang mendarat dan berlepas di bawah pengawasan saya.

“Antara strategi yang diamalkan ialah mempunyai maklumat terkini mengenai juruterbang pesawat dan kakitangan di lapangan, memeriksa keselamatan pesawat, memastikan jajaran dan pimpinan yang betul wujud

di pesawat, memeriksa alat kelengkapan keselamatan dan juga menentukan ahli pasukan memakai pakaian seragam yang betul dan lengkap dengan tanda pengenalan, dan mengesahkan setiap orang diperhitungkan selepas selesai setiap operasi.

“Tumpuan dan perhatian kepada butir terperinci amatlah penting kerana saya bekerja dengan pelbagai pihak serentak termasuk Pusat Operasi Global, Pusat Kawalan Operasi Rangkaian dan Pengurus Ramp,” katanya.

Sementara itu, Norazizah pula menggalas tugas sebagai kurier berpengalaman di syarikat itu dan terbabit dalam kerja itu selama lebih 19 tahun.

Dia akui tidak akan tegar melakukan kerja yang sama hampir dua dekad seandainya dia tidak seronok dengan kerja itu.

Tetapi, apakah sebenarnya daya tarikan kerjaya ini?

“Kerja ini memberi saya kepuasan dan kebebasan. Diri sendiri adalah bos. Setiap pagi, sebaik saja pengurus saya menugaskan barang hantaran kepada saya dan saya memandu van FedEx keluar dari stesen FedEx, diri sendiri menjadi bos. Saya diberi kuasa untuk menguruskan laluan perjalanan.

“Selaku ‘pengurus laluan’, saya bertanggungjawab sepenuhnya memastikan hantaran harian saya dilaksanakan dengan cekap dan selamat,” katanya.

Cabaran 'bukan tradisional'

Bagi Norazizah, dua soalan lumrah yang ditanya orang (kebanyakannya wanita), bagaimana dia mengendalikan bungkusan berat dan kulit gelap akibat bekerja di luar.

Katanya, wanita menyangka mereka tidak berupaya mengangkat kotak dan bungkusan berat dan jika kulit menjadi gelap, mungkin sukar pula mendapat suami.

“Benda ini sama saja bagi semua kurier baik lelaki mahupun perempuan. Kami tidak mengangkat barang kiriman atau hantaran yang beratnya melebihi 35 kilogram (kg).

“Sebaliknya, kami menggunakan van tugas berat khas dan dua kurier untuk mengendalikan segala kiriman yang melebihi berat ini. Bagi kami, 10, 15 atau 20kg tiada bezanya dengan menggendong atau mendukung seorang bayi atau anak kecil.

“Memandangkan saya berada di luar sehari suntuk, saya memakai krim pelindung suria untuk menjaga kulit agar tidak gelap,” katanya.

Kedua-dua wanita ini sepakat, sebagai seorang wanita yang menggalas tugas dalam pekerjaan ‘bukan tradisional’ sememangnya mencabar, namun bermanfaat kerana ini bukanlah kerja yang lazimnya dikaitkan dengan wanita.

Bagi mereka, budaya kepelbagaian FedEx di samping galakan, pengiktirafan dan sokongan daripada syarikat, rakan sekerja, pelanggan dan keluarga tetap menjadikan tugas dan suasana kerja mereka suatu motivasi dan menyeronokkan.

Pengarah Urusan FedEx Express Malaysia, S Ramesh Kumar pula berkata, di Asia Pasifik, FedEx Express mempunyai kira-kira 17,500 kakitangan. Daripada jumlah itu, wanita menguasai 38.1 peratus jawatan pengarah dan 29.5 peratus peringkat pengurusan.

“Kepelbagaian menjadi nilai teras FedEx. Kami menghargai kakitangan dan mendukung kepelbagaian di tempat kerja dan dalam pemikiran kami. Komitmen syarikat terhadap kepelbagaian dan keterangkuman ini terpancar pada tenaga kerja kami.

“Syarikat ini diasaskan atas falsafah insan diutamakan dan rasa hormat kepada semua insan sejak dulu lagi yang menjadi amalan perniagaan harian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mei 2016 @ 11:47 AM