Kunshan, China: Tiga pemain perseorangan wanita negara yang akan beraksi menentang Denmark pada saingan Piala Uber hari ini perlu mencatat kemenangan untuk menghidupkan peluang Malaysia mara ke suku akhir.

Jurulatih perseorangan wanita negara Wong Tat Meng berkata, kekuatan skuad negara adalah menerusi acara perseorangan berbanding Denmark yang mempunyai dua beregu kuat.

Tat Meng yakin Denmark tidak akan memperjudikan nasib untuk memecahkan dua beregu utama mereka iaitu Christinna Pederson-Kamilla Rytter Juhl dan Maiken Fruergaard-Sara Thygesen selepas dua beregu negara Vivian Hoo-Woon Khe Wei dan Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean mampu memberi saingan sengit sebelum tewas kepada beregu China kelmarin.

Malaysia dijangka akan menurunkan Tee Jing Yi (gambar) selaku perseorangan pertama, Goh Jin Wei perseorangan kedua manakala antara Ho Yen Mei atau Soniia Cheah bagi perseorangan ketiga.

“Secara peribadi sudah tentu saya mahu melihat semua pemain perseorangan memenangi perlawanan masing-masing kerana Denmark tidak begitu kuat dalam acara itu.

“Di atas kertas kami mahu dua perseorangan negara memenangi perlawanan tapi kalau boleh perseorangan ketiga juga diharap mampu menang kerana pertemuan dengan Denmark cukup penting,” katanya.

Skuad negara perlu menang ke atas Denmark selepas tewas 0-5 kepada China pada perlawanan pertama Kumpulan A kelmarin sebelum bertemu Sepanyol pada perlawanan terakhir esok.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mei 2016 @ 11:22 AM