DUTERTE berselfie bersama penyokongnya selepas sidang akhbar pertamanya sejak  memenangi pilihan raya presiden Isnin lalu di sebuah restoran di bandar Davao, lewat kelmarin.
DUTERTE berselfie bersama penyokongnya selepas sidang akhbar pertamanya sejak memenangi pilihan raya presiden Isnin lalu di sebuah restoran di bandar Davao, lewat kelmarin.
AFP

Davao: Bakal presiden baru Filipina Rodrigo Duterte berikrar untuk memperkenalkan hukuman mati menerusi gantung dan mengarahkan penembak tepat tentera membunuh mereka yang disyaki penjenayah.

Ia sebahagian daripada rancangannya memerangi keganasan dan jenayah apabila mula menjadi presiden pada 30 Jun depan.

Bercakap pada sidang akhbar pertamanya selepas menang besar dalam pilihan raya 9 Mei lalu, Datuk Bandar Davao itu berkata, pasukan keselamatan akan diarah menembak hingga mati suspek penjenayah sebagai cara untuk memaksa penduduk menghormati undang-undang.

“Saya mahukan anda mematuhi undang-undang bagi memastikan tidak ada kekacauan. Saya akan memerangi dadah dan saya menjanjikan ‘neraka’ kepada penjenayah,” kata Duterte kepada wartawan mengenai wawasannya bagi Filipina sebaik mengangkat sumpah jawatan kelak.

Dia juga berjanji untuk meluaskan langkah undang-undang yang dikuatkuasakan di Davao ke seluruh negara, termasuk larangan minum arak di tempat awam selepas jam 2 pagi dan mengharamkan kanak-kanak berjalan seorang diri di jalan raya pada waktu malam.

Merokok di restoran dan hotel juga akan diharamkan.

Menurutnya, tumpuan utama untuk memerangi jenayah kerajaannya ialah menguatkuasakan semula hukuman mati yang dihapuskan oleh Presiden Gloria Arroyo pada 2006.

“Saya akan mendesak Kongres mengembalikan hukuman mati dengan menggantung pesalah,” kata Duterte, 71.

Katanya, dia mahukan hukuman itu dilaksanakan ke atas pesalah pelbagai jenayah, khususnya dadah, merogol, membunuh dan merompak.

Duterte juga menegaskan, dia memilih gantung daripada skuad menembak kerana tidak mahu membazir peluru dan percaya hukuman menerusi gantung lebih berperikemanusiaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mei 2016 @ 11:10 AM