SITI Nursyazana.
SITI Nursyazana.
ANTARA aktiviti yang dijalankan pelajar.
ANTARA aktiviti yang dijalankan pelajar.
GAMBAR diambil di padang sekolah bersama rakan sekelas pada hari sukan sekolah.
GAMBAR diambil di padang sekolah bersama rakan sekelas pada hari sukan sekolah.
Nor Hanisah Kamaruzaman


Pelajar di Australia boleh memilih sama ada mahu belajar di sekolah awam atau swasta.

Sekolah swasta pula dipecahkan kepada dua kategori iaitu sekolah mubaligh dan sekolah persendirian.

Bagaimanapun, lebih separuh belajar di sekolah awam. Kos pembelajaran di sekolah awam ditanggung kerajaan negeri atau tempatan manakala pelajar sekolah swasta perlu membayar yuran ditetapkan.

Pendidikan di Australia bermula seawal usia tiga tahun, namun peringkat umur pembelajaran tidak seragam dan berbeza mengikut negeri.

Penulis berpeluang menemu bual rakyat Malaysia yang berpengalaman belajar di sebuah sekolah di ibu negara Australia, Canberra.

Siti Nursyazana Mohd Faudzi, 24, berpeluang belajar di Stromlo High School ketika berusia 16 tahun.

“Saya ke Australia mengikut bapa bertugas sebagai anggota tentera. Pada usia 16 tahun, saya memasuki ‘Tahun 10’ iaitu tahap terakhir peringkat sekolah menengah.

“Di Canberra, selepas tamat Tahun 10, pelajar dapat menyambung pengajian ke kolej,” katanya.

Siti Nursyazana berkata, pembelajaran di negara itu lebih bersifat ‘hands on’ dan mengutamakan latihan amali berbanding teori.

“Pelajar perlu melakukan banyak latihan amali, sebagai contoh ketika subjek memasak, mereka mempunyai meja memasak sendiri.

“Saya pernah ambil subjek Sains. Untuk itu saya pernah mengikuti kerja lapangan di luar sekolah selama beberapa hari untuk membuat penyelidikan berkaitan subjek itu,” katanya.

Katanya, pendidikan di Australia juga bukan berasaskan peperiksaan kerana markah atau gred lebih banyak tertumpu pada tugasan dan taksiran.

Katanya, sistem pembelajarannya umpama gabungan sekolah dan universiti.

“Saya boleh katakan sistem pembelajarannya adalah 50 peratus seperti sekolah dan 50 peratus di universiti.

“Setiap tahun ada dua semester dan keputusan peperiksaan diberikan pada akhir semester, bukannya penghujung tahun,” katanya.

Katanya, subjek yang diambil juga berlainan mengikut semester.

“Setiap semester kena ambil enam subjek iaitu dua subjek wajib manakala selebihnya ikut pilihan yang diberi.

“Subjek wajib adalah Matematik dan Bahasa Inggeris. Bahasa Inggeris diwajibkan kerana ia bukan bahasa ibunda saya.

“Setiap tahun, pelajar diwajibkan mengambil subjek Pendidikan Jasmani tidak kira pada semester mana,” katanya.

Menurut Siti Nursyazana, kebanyakan subjek pilihan adalah biasa dan turut ditawarkan di sekolah Malaysia, namun ada beberapa subjek menarik dan tidak ada di Malaysia.

“Antara subjek pilihan ialah Sains, Fizik, Sejarah tapi ada juga yang baru pertama kali saya dengar seperti ‘Crime Scene Investigation’.

Katanya, setiap kelas tidak boleh melebihi 20 pelajar.

“Di Stromlo, tiada pakaian seragam ditetapkan, hanya ikut kod warna. Maksudnya tidak kisah apa sahaja pakaian, cuma perlu ikut warna ditetapkan.

“Selain itu, di sana ada dua waktu rehat iaitu sarapan dan makan tengah hari,” katanya.

Katanya, pelajar tahun akhir perlu melalui latihan praktikal sebelum menamatkan pengajian peringkat sekolah bagi mendedahkan mereka kepada pengalaman alam pekerjaan.

“Sebelum tamat tahun akhir sekolah, saya menjalani latihan praktikal sebagai pustakawan di sebuah perpustakaan di Canberra dan diberikan sijil selepas tamat latihan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2016 @ 5:00 AM