Oleh Intan Mas Ayu Shahimi


Mencari lokasi penginapan terbaik tatkala bercuti di negeri Cik Siti Wan Kembang tidaklah begitu sukar, apalagi Hotel Renaissance menawarkan harga berpatutan dengan lokasi paling strategik di tengah bandar Kota Bharu.

Hotel antarabangsa bertaraf lima bintang ini dibuka sejak 2000 dan dikendalikan sepenuhnya Marriot International.

Menariknya, hotel setinggi 20 tingkat ini memiliki penarafan halal bagi keempat-empat premis makanannya termasuk satu restoran Cina, dua ruang rehat serta bar.

Bagi yang tidak mahir dengan selok-belok Kota Bharu, hotel ini terletak kira-kira 11 kilometer dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra dan menawarkan banyak kemudahan berikutan lokasinya di Kompleks Kota Sri Mutiara.

Jarak antara hotel dengan Pasar Siti Khadijah hanya tiga kilometer selain banyak tempat menarik lain yang boleh disinggah ketika bersiar-siar di Kota Bharu.

Semua kemudahan itu menjadikan Hotel Renaissance Kota Bharu (KB) popular dalam kalangan pengunjung.

Hotel Renaissance KB menawarkan 298 bilik termasuk Deluxe King, Deluxe Double Double, Junior Suite, Kota Bharu Suite, Club Rooms, Executive Suite dan Presidential Suite yang menggabungkan dekorasi mewah dengan hospitaliti terbaik.

Semua bilik di hotel ini dilengkapi kemudahan canggih, ruang rehat selesa, perabot moden dan khidmat WiFi.

Paling menarik, tetamu yang menginap di Hotel Renaissance KB boleh menikmati kemudahan percuma di pusat kecergasan, sauna serta jakuzi.

Pusat kecergasan hotel ini turut menyediakan kelas zumba, yoga, aerodance, tarian dan renang.

Bagi aktiviti luar, hotel itu mempunyai gelanggang tenis, badminton, skuasy serta ping pong secara percuma.

Seiring populariti Kota Bharu sebagai syurga makanan, hotel ini mempunyai tempat makan istimewa.

Terletak di tingkat enam, Dynasty Restaurant menyajikan pengalaman menjamu selera dalam suasana mewah sambil menikmati pemandangan Bandar Kota Bharu.

Menampilkan gabungan dekorasi tradisional moden masyarakat Cina, hidangan dim sum di restoran ini menggamit hati sesiapa saja termasuk pelanggan Muslim. Semua hidangan Kantonis dan Szechuan adalah halal.

Jika mahukan kepelbagaian dalam hidangan, tetamu boleh menjamu selera di Palm Terrace Cafe di tingkat satu hotel.

Namun, jika ingin suasana lebih santai dan menyenangkan, Lobby Lounge atau Rezzo adalah tempatnya.

Rezzo adalah bar tanpa alkohol yang sesuai untuk bersantai sambil menikmati minuman dan snek sepanjang hari.

Bersesuaian dengan status sebagai hotel antarabangsa, premis itu menyediakan kemudahan bilik mesyuarat dan persidangan serta dewan bankuet.

Untuk tempahan dan maklumat lanjut boleh menghubungi Hotel Renaissance KB di 09 746 2233.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Disember 2014 @ 5:00 AM