SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar diiringi Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim menyentuh panji JMF yang baru sebagai tanda pertukaran panji di Istiadat Pertukaran Panji-panji Askar Timbalan Setia Negeri Johor (JMF) di Dataran Istana Besar, Johor Bahru. FOTO Hairul Anuar Abd Rahim
SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar diiringi Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim menyentuh panji JMF yang baru sebagai tanda pertukaran panji di Istiadat Pertukaran Panji-panji Askar Timbalan Setia Negeri Johor (JMF) di Dataran Istana Besar, Johor Bahru. FOTO Hairul Anuar Abd Rahim
Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar bertitah mencadangkan supaya Pasukan Sukarelawan Johor (JVF) dihidupkan semula bagi menambah kecekapan dan memperkasa disiplin serta integriti pegawai dan kakitangan kerajaan negeri.

Baginda bertitah, JVF yang ditubuhkan pada 1935 itu bertujuan melatih rakyat Melayu Johor menjadi pegawai tadbir kerajaan yang mempunyai latihan ketenteraan supaya lebih berdisiplin, berwibawa dan lebih cekap selain menghidupkan semangat sukarelawan bangsa Johor dalam mempertahankan kedaulatan Institusi Diraja, perpaduan bangsa dan kemakmuran negeri.

"Saya suka mencadangkan kepada kerajaan Johor supaya menghidupkan semula pasukan JVF.

"Pasukan JVF ini juga akan dibuka keahliannya kepada semua bangsa Johor, tanpa mengira kaum atau keturunan.

"Anggota JVF juga akan diberikan latihan asas dan mengikuti aktiviti ketenteraan bersama Askar Timbalan Setia Negeri Johor (ATSNJ)," titahnya.

Baginda bertitah sedemikian selepas menyempurnakan Istiadat Pertukaran Panji-panji ATSNJ di Dataran Istana Besar di sini, hari ini.

Turut berangkat, Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah; Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isteri, Che Puan Khaleeda Bustamam.

Sultan Ibrahim bertitah, mereka yang menganggotai JVF akan berkhidmat secara sukarela bagi membantu kerajaan dalam bidang pertahanan awam dan apa jua program bersesuaian teruatamanya dalam memberi bantuan semasa bencana dan khidmat masyarakat kepada rakyat di negeri ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mei 2016 @ 11:20 AM