Shahril  (empat dari kiri)  selepas Mesyuarat Tahunan (AGM) dan Luar Biasa (EGM) Taliworks,   semalam.
Shahril (empat dari kiri) selepas Mesyuarat Tahunan (AGM) dan Luar Biasa (EGM) Taliworks, semalam.
Hafiz Ithnin


Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak menolak sebarang kemungkinan untuk melabur di dalam pemegang konsesi Lebuhraya Damansara-Ulu Klang Expressway (DUKE), yang diuruskan Ekovest Bhd, memandangkan syarikat dana persaraan itu sentiasa mencari peluang dalam portfolio pelaburannya.

Ketika ini, KWSP memiliki pegangan saham di dalam beberapa syarikat konsesi yang menguruskan lebuhraya di Malaysia antaranya Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) sebanyak 49 peratus di dalam PLUS Malaysia Bhd; dan Lebuhraya Cheras-Kajang serta Lebuhraya Pintas Selat Klang Utara Baru (NNKSB) yang kedua-keduanya dimiliki Taliworks Corporation Bhd (Taliworks) dengan pegangan saham KWSP masing-masing 49 peratus dan 37.5 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, pihaknya sentiasa mengintai pelaburan di dalam pelbagai portfolio berpotensi menjana pulangan balik di dalam aliran tunainya.

Beliau berkata, selain daripada pelaburan di dalam portfolio lebuhraya, KWSP turut menyertai portfolio pengurusan sisa pepejal dengan memiliki 35 peratus pegangan saham di dalam SWM Enviroment Holdings Sdn Bhd.

“Kami sentiasa mempunyai perancangan memiliki pegangan saham di dalam mana-mana portfolio seperti sebelum ini KWSP menyertai pelaburan di dalam PLUS dan Taliworks serta projek infrastruktur lain.

“Namun, KWSP perlu meneliti dan menganalisis syarikat baru yang mempunyai potensi menerima pelaburan kami bagi menjamin kelancaran aliran tunai serta pulangan bebas risiko,” katanya selepas Mesyuarat Tahunan (AGM) dan Luar Biasa (EGM) Taliworks di sini, semalam.

Pada majlis itu, Taliworks juga mengumumkan memuktamadkan kerjasama ketiga dengan KWSP dalam cadangan pengambilalihan 35 peratus pegangan saham di dalam SWM pada harga RM245 juta.

Taliworks turut yakin kerjasama itu mengukuhkan momentum penggabungan dan pengambilalihan bagi model pengembangan perniagaan kumpulan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mei 2016 @ 7:44 AM