Zahiril bergandingan bersama Sharifah Amani selaku watak utama. FOTO NSTP/veedo.my
Zahiril bergandingan bersama Sharifah Amani selaku watak utama. FOTO NSTP/veedo.my
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Filem Pekak terbitan Grand Brilliance dan Lightbulb Pictures bakal menempa sejarah apabila dipilih Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) untuk ditayangkan di Marche du Film 2016, pada 17 Mei ini di Cannes, Perancis sempena Festival Filem Cannes.

Marche du Film 2016 ialah pasaran tayangan filem terbesar di Cannes.

Pengurus Pemasaran dan Komunikasi Primeworks Distribution Trina Tan berkata, pihaknya berbangga dan tidak sabar menantikan tarikh tayangan filem itu.

“Pekak memaparkan kelainan dari segi jalan ceritanya yang unik dan tidak klise seperti filem-filem yang sedia ada. Ia juga menampilkan kelainan dari segi sinematografi. Selain itu, Pekak juga memaparkan sisi lain bandar raya Kuala Lumpur yang dikaitkan dengan dadah, seks dan sebagainya," katanya ketika dihubungi.

Pekak diarahkan pengarah baru, Mohd Khairul Azri serta menampilkan pelakon popular Zahiril Adzim dan Sharifah Amani selaku watak utama.

Tina berkata, pihaknya mengharapkan lebih banyak lagi filem-filem sebegini dihasilkan dan bukan sahaja untuk pasaran tempatan, tetapi juga luar negara.

"Pekak menjadi salah satu wakil untuk membawa industri filem kita ke mata dunia. Saya berharap selepas ini lebih banyak lagi filem-filem sebegini akan dihasilkan," katanya.

Pekak mengisahkan mengenai pengedar dadah bernama Uda yang cacat pendengaran. Dia terpaksa menjalani kehidupan sebagai pengedar dadah bagi menampung pembiayaan pembedahan bagi memulihkan pendengarannya.

Ia akan ditayangkan di seluruh negara bermula 1 September ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mei 2016 @ 7:44 PM