Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Di sebalik keraguan terhadap kemampuan skuad badminton Piala Thomas negara, pemain perseorangan Iskandar Zulkarnain Zainuddin (gambar) tetap yakin dia serta rakan sepasukan mampu melangkah lebih jauh pada saingan yang akan berlangsung di Kunshan, China pada 15 hingga 22 Mei ini.

Malah Iskandar yang bakal turun selaku perseorangan kedua negara berkata, Malaysia juga mempunyai peluang muncul selaku juara kumpulan, mengatasi satu lagi gergasi Asia, Korea Selatan.

Selain Korea, skuad negara diundi dalam Kumpulan C bersama-sama England serta Jerman.

“Bukan soal pasukan kali ini kuat atau tidak, tapi bagaimana kami semua dapat bekerjasama.

“Saya sememangnya rasa bertuah kerana dapat menyertai skuad ini bersama-sama jaguh negara Datuk Lee Chong Wei dan juga beregu berpengalaman Koo Kien Keat-Tan Boon Heong.

“Sudah tentu saya sendiri tak sabar untuk turun beraksi bersama-sama mereka ini. Saya berasa yakin kerana mereka.

“Jika semua dapat memberikan yang terbaik, saya yakin kita mampu muncul juara kumpulan dan melangkah ke suku akhir selaku pasukan pilihan,” katanya.

Bekas jurulatih perseorangan negara Rashid Sidek menerusi laporan Arena Metro baru-baru ini berpendapat skuad kali ini tidak mempunyai kemampuan untuk mara ke final Piala Thomas.

Dua tahun lalu di New Delhi, India, Rashid yang ketika itu jurulatih perseorangan negara berjaya membantu Malaysia yang ketika itu tidak diberi harapan tinggi mara ke pentas final sebelum tewas 2-3 kepada Jepun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mei 2016 @ 5:09 AM