AIRIN (kanan) dan Ben menunjukkan pakej Tonton VIP yang ditawarkan kepada pengguna.
AIRIN (kanan) dan Ben menunjukkan pakej Tonton VIP yang ditawarkan kepada pengguna.
Ramlah Zainal


Selepas hampir 6 tahun beroperasi, portal video Tonton.com.my tampil berwajah baru bermula 20 April lalu khusus bagi memenuhi keperluan pengguna.

Sempena pengenalan wajah baru ini, seramai 5.6 juta pengguna Tonton berdaftar berpeluang menonton pelbagai program hiburan terbaik tempatan dan antarabangsa secara percuma. Pengurus Besar Kumpulan ntv7, 8TV dan Tonton Airin Zainul berkata, pihaknya turut memperkenalkan Tonton VIP dengan pakej langganan eksklusif serendah RM3 sehari untuk mendapatkan akses penuh kepada program drama dan filem yang ditawarkan.

“Ia termasuk kelebihan menonton program yang ditawarkan daripada Anugerah Juara Lagu pertama sehinggalah drama terbaru yang disiarkan tanpa sebarang gangguan iklan dan muat turun video secara percuma.

“Pakej Tonton VIP juga menawarkan harga berpatutan berbanding portal lain serendah RM3 (sehari), RM5 (seminggu), RM10 (sebulan) dan RM96 (setahun),” katanya.

Airin berkata, pengguna Tonton yang bukan VIP pula masih boleh menikmati program yang disajikan secara percuma membabitkan kandungan berita, bual bicara dan program yang bersiaran secara langsung dan banyak lagi.

“Pengguna Tonton juga boleh menonton dua episod pertama setiap drama yang disiarkan tanpa sebarang bayaran,” katanya.

Airin ditemui di sesi temu bual khas mengenai wajah baru Tonton yang berlangsung di Sri Pentas, Bandar Utama baru-baru ini. Hadir sama, Ketua Operasi Tonton, Ben Jern Loh.

Masih kekal logo sama

Mengulas lanjut program Tonton, kata Airin, laman portal itu popular dalam kalangan penonton setia rangkaian Media Prima iaitu stesen televisyen TV3, TV9, ntv7 dan 8TV.

“Tonton juga menawarkan pilihan drama tempatan yang belum disiarkan di kaca TV dan drama yang sudah disiarkan pada episod lalu. Selain itu, ia membabitkan program realiti TV.

“Pengguna Tonton juga boleh menikmati tayangan eksklusif, Tonton First yang ditayangkan sebulan sebelum ke udara di kaca TV dan Tonton Premier (satu episod lebih awal di TV) dan Tonton Original (drama yang diterbitkan khusus untuk Tonton),” katanya.

Bagaimanapun, kata Airin, Tonton yang berwajah baru masih mengekalkan logo sama, sekali gus menunjukkan proses kematangan.

“Beberapa menu sudah ditambah baik bagi memudahkan pengguna melayari portal video terbabit selaras dengan misi dan visi Tonton untuk menjadi laman web video online nombor satu di negara ini,” katanya.

Aplikasi Android Tonton juga turut dikemas kini. Untuk muat turun, sila layari Google Play.

Maklumat lanjut mengenai wajah baru Tonton boleh diperoleh dengan melayari Facebook: TontonMy, Twitter: TontonMy, Instagram : tontonMy dan Hashtags :#tontonMY #tontonMacamVIP.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mei 2016 @ 11:17 AM