MAKANAN yang dibeli di luar kurang mengandungi khasiat diperlukan.
MAKANAN yang dibeli di luar kurang mengandungi khasiat diperlukan.
Siti Nadirah Hafidzin

Penat bekerja, tidak cukup masa dan pulang lewat ke rumah antara alasan biasa ibu bapa kini yang lebih selesa membeli makanan di gerai atau restoran untuk disajikan kepada anak.

Selain itu kehadiran gerai dan restoran yang terlalu banyak malah ada yang beroperasi 24 jam menjadi antara faktor lain yang membuatkan fungsi dapur di rumah semakin kecil.

Membeli makanan atau makan di luar sama ada gerai atau restoran memang memudahkan kerja ibu bapa. Namun ramai tidak sedar keenakan rasa tidak sepatutnya dijadikan faktor utama dalam pemilihan makanan anak kerana apa yang lebih penting ialah khasiatnya.

Kekerapan menjamu selera di luar sering kali menjadi punca kepada masalah lebihan berat badan atau obesiti dalam kalangan kanak-kanak mahupun ibu bapa.

Menurut Doktor Kanan Kumpulan Perubatan Penawar Sdn Bhd Dr Zubaidi Ahmad, tidak dapat dinafikan kebanyakan wanita yang bergelar ibu dan isteri kini sentiasa sibuk melakukan kerja di luar rumah dan terbabit dalam pelbagai sektor pekerjaan.

Menurutnya, disebabkan terpaksa mengejar masa, ibu kini tidak dapat menyediakan hidangan untuk keluarga dan paling mudah ialah membeli makanan di kedai makan atau restoran.

“Ini antara sebab mengapa ramai amat sukar hendak mengamalkan pemakanan seimbang kerana hidangan keluarga dimasak oleh orang lain.

“Senario ini pastinya membimbangkan kerana ia mengundang pelbagai risiko pada seisi keluarga. Kita tidak tahu tahap kebersihan ketika penyediaan dan bahan yang digunakan dalam masakan,” katanya.

Menurut Dr Zubaidi, antara masalah kesihatan utama yang mungkin akan dihidapi adalah tahap kolesterol tinggi dan berat badan tidak terkawal yang menjadi punca pelbagai jenis penyakit lain antaranya serangan jantung, darah tinggi dan kencing manis.

“Selain itu, keracunan makanan antara masalah yang paling kerap berlaku di seluruh dunia kerana penyediaan makanan tidak dilakukan dalam keadaan bersih. Jangan ambil mudah perkara ini kerana keracunan makanan boleh membawa maut khususnya pada kanak-kanak.

“Disebabkan itu, senario mengambil jalan mudah dengan membeli makanan atau makan di gerai mahupun restoran ini perlu dielakkan dan tidak dijadikan kebiasaan demi kebaikan anda seisi keluarga,” katanya.

Ujarnya, menurut pemerhatiannya kebanyakan ibu bekerja sebenarnya terikat pada menu masakan asli Melayu yang biasa­nya mengambil masa lama untuk disediakan.

“Apa yang perlu mereka lakukan adalah cuba membiasakan anak untuk menikmati makanan yang berkhasiat dan seimbang walaupun ia bukannya masakan Melayu.

“Sebagai ibu, anda perlu tahu mengenai pemakanan berkhasiat dan berusaha mencari masa menyediakannya,” katanya.

Dr Zubaidi berkata, pemakanan yang seimbang perlu mengandungi empat kumpulan utama iaitu karbohidrat, protein, lemak dan serat selain minum air secukupnya.

“Pergerakan fizikal seperti beriadah akan meningkatkan kesihatan seisi keluarga. Untuk ibu bapa, ada cara mudah untuk mengamalkan pemakanan sihat dan seimbang iaitu dengan membahagikan pinggan kepada empat bahagian.

“Satu bahagian untuk nasi, satu bahagian untuk protein iaitu ayam, ikan atau daging dan dua bahagian untuk sayur-sayuran, di samping segelas susu serta buah-buahan,” ujarnya.

Menurutnya, bagi sayur-sayuran ia boleh ditumis sebentar bersama bawah putih dan bawang merah atau dijadikan ulam (dimakan mentah) selepas dibersihkan.

“Bagi sumber protein pula, boleh pilih ikan, daging merah, telur atau ayam secara bergilir-gilir sama ada dengan menggoreng, direneh atau direbus untuk dijadikan sup.

“Sebagai contoh, hidangan malam terdiri daripada nasi putih bersama ikan goreng atau sup ayam dan daging yang ringkas, sayur kubis yang ditumis dan buah-buahan seperti pisang atau jambu batu dan segelas susu atau air mineral,” katanya.

Tambahnya, cuba elakkan daripada masakan yang berat seperti kuah pedas, berlemak dan berminyak waktu malam bagi memberi keseimbangan pada diet harian selain tidak memerlukan masa yang lama untuk memasak.

“Apa yang penting si ibu tidak perlu menyediakan hidangan yang rumit pada hari yang sibuk. Hidangan ringkas sudah memadai asalkan ia mengandungi semua khasiat diperlukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mei 2016 @ 11:27 AM