TLDM akan terima enam lagi kapal LCS sehingga 2019. - Foto Wikiepedia
TLDM akan terima enam lagi kapal LCS sehingga 2019. - Foto Wikiepedia
BERNAMA

Kuala Lumpur: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan menerima enam kapal tempur pesisir pantai (LCS) bagi mengukuhkan lagi kawalan keselamatan perairan negara.

LCS buatan syarikat tempatan, Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd, akan diterima secara berperingkat mulai pertengahan 2019.

Panglima TLDM Laksamana Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata, kapal berkenaan tambahan kepada empat kapal jenis itu yang dimiliki TLDM kini.

"Kapal ini diharap menyokong tugas penguatkuasaan serta kawalan di perairan negara selain membantu agensi maritim lain seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Marin dan Jabatan Laut," katanya dalam wawancara khas Sempena Hari TLDM Ke-82 di Wisma Pertahanan di sini, hari ini.

Beliau berkata pihaknya juga berharap memperoleh 18 kapal tugas khas pesisir pantai (LMS) melalui Program Transformasi '15-to-5 Armada' TLDM, iaitu program penyusunan semula angkatan lautnya daripada 15 kelas kapal kepada hanya lima kelas kapal.

"Menerusi program ini, kapal berusia lebih 30 tahun tidak lagi digunakan kerana kos operasi yang tinggi.

"Oleh itu, kita mahukan kapal jenis LMS ini memandangkan ia kecil dan lebih senang dikendalikan," katanya.

Hari TLDM 2016 bertema 'TLDM Siap Siaga, Perairan Terpelihara' akan disambut Rabu ini di semua Pangkalan TLDM.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 April 2016 @ 9:27 PM