Selepas dua bulan dipenjarakan, Dima pulang ke rumah untuk bersama keluarganya. - Foto AP
Selepas dua bulan dipenjarakan, Dima pulang ke rumah untuk bersama keluarganya. - Foto AP
Dima dipeluk bapa dan ibunya sebaik diserahkan Israel kepada Pihak Berkuasa Palestin di Tulkarem, Tebing Barat, semalam. - Foto AP
Dima dipeluk bapa dan ibunya sebaik diserahkan Israel kepada Pihak Berkuasa Palestin di Tulkarem, Tebing Barat, semalam. - Foto AP
Daily Mail

Baitulmaqdis: Selepas dua bulan dipenjarakan, Israel membebaskan budak perempuan berusia 12 tahun yang ditahan kerana memilik pisau dekat penempatan yahudi di Tebing Barat ketika budak itu pulang dari sekolah.

Dima al-Wawi dijatuhkan hukuman penjara empat bulan selepas dituduh cuba menyerang dan semalam, dia diserahkan Israel kepada Pihak Berkuasa Palestin di Tulkarem, Tebing Barat sebelum dibawa pulang ke rumah keluarganya di Hebron.

Budak perempuan itu ditahan ketika masih berpakaian sekolah pada 9 Februari lalu, di pintu masuk penempatan Yahudi di Tebing Barat yang diduduki Israel kerana membawa pisau.

Sejak Oktober lalu, berlaku banyak kejadian penduduk Palestin menyerang Yahudi dengan pisau atau melanggar mereka dengan kereta menyebabkan 28 penduduk Israel mati namun jumlah kematian penduduk Palestin lebih ramai, 201 orang akibat ditembak tentera Israel atau serangan balas penduduk Yahudi.

Peguam budak perempuan itu, Tariq Barghouth, berkata: “Dia adalah wanita termuda Pelestin yang dipenjarakan.”

Melalui kenyataan dalam Facebook, Tariq memberitahu pasukan peguam pembela Dima merayu kepada mahkamah tentera Israel supaya budak itu dibebaskan awal.

Undang-undang tentera Israel membenarkan remaja semuda 12 tahun didakwa dan ketika ini sedang menahan 450 remaja Palestin dengan 100 daripadanya berusia bawah 16 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 April 2016 @ 5:02 PM