Aziman Rosdi


Kuala Lumpur: Penasihat Diraja Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim menamatkan segera spekulasi dengan mengesahkan tidak akan membeli kelab Serie A Itali AC Milan seperti yang dilaporkan kelmarin.

Beliau mengakui tidak mempunyai sumber kewangan kukuh untuk membeli kelab yang diminati sejak kecil itu dan apa yang dinyatakan dalam temuramah dengan media dari Singapura The Straits Times hanyalah salah satu impiannya.

“Jika saya perlu memilih sebuah kelab, ia adalah AC Milan. Itulah salah satu impian saya. Tapi itu tidak bermakna saya akan membelinya. Ia cuma sebuah kelab yang saya minati sejak zaman kanak-kanak. Itu saja.

“Jadi untuk menjawab sebarang spekulasi, jawapannya adalah tidak. Saya tidak akan membeli AC Milan. Saya tidak mempunyai duit untuk membeli AC Milan. Saya tidak kaya seperti ahli perniagaan lain,” katanya dalam satu kenyataan menerusi laman sosial Facebook Johor Southern Tigers semalam.

Dalam laporan Arena Metro semalam, Tunku Ismail yang juga pemilik kelab juara Piala AFC Johor Darul Ta’zim (Johor DT) menyatakan minat untuk membeli AC Milan yang kini dimiliki bekas Perdana Menteri Itali Silvio Berlusconi.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 April 2016 @ 5:11 AM