DARI kiri, Pationo, Dr Jacob, Dr Chan dan Dr Rajadhyaksha pada majlis pelancaran terapi suntikan terkini.
DARI kiri, Pationo, Dr Jacob, Dr Chan dan Dr Rajadhyaksha pada majlis pelancaran terapi suntikan terkini.
DR Jacob memberi penerangan mengenai rawatan diabetes.
DR Jacob memberi penerangan mengenai rawatan diabetes.
Hajahfarhana Tarmudi


Diabetes ialah penyakit metabolik kompleks yang semakin lazim dan dianggap sebagai satu daripada 10 penyakit yang membawa kematian di negara ini.

Antara punca penyakit ini apabila paras gula dalam darah pesakit lebih tinggi daripada paras normal atau dipanggil hiperglisemia.

Ia boleh berlaku apabila badan pesakit tidak dapat menghasilkan insulin mencukupi atau insulin yang dihasilkan tidak dapat digunakan dengan sempurna.

Insulin ialah sejenis hormon yang dihasilkan oleh pankreas. Ia berperanan sebagai ‘kunci’ yang mengawal paras gula dalam darah agar ia sentiasa berada pada paras normal.

Kekurangan insulin menyebabkan gula tidak dapat dibawa ke dalam sel dan tisu untuk digunakan dan seterusnya meningkatkan paras gula dalam darah.

Pada masa sama, ia turut meningkatkan risiko kepada komplikasi penyakit kardiovaskular yang juga berkait rapat dengan peningkatan kematian pramatang dan yang boleh dielakkan, penyakit hati, kegagalan buah pinggang, buta serta amputasi.

Menurut Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) tahun lalu, kes diabetes meningkat di Malaysia pada kadar 17.5 peratus berbanding 15.2 peratus pada 2011.

Lebih membimbangkan apabila penyakit ini turut menyerang kanak-kanak apabila kadar obesiti dalam kalangan pesakit kecil ini turut meningkat biarpun ia lazim terjadi kepada orang dewasa.

Perunding Kanan Endokrinologi Prof Dr Chan Siew Pheng berkata, terdapat ketirisan mengenai kesedaran diabetes serta kelaziman di negara ini dalam kalangan rakyat di negara ini.

“Ia sekali gus menghalang usaha proaktif bagi memperkenalkan kehidupan lebih sihat yang boleh mengurangkan risiko diabetes.

“Jumlah peningkatan mendadak diabetes di Malaysia sangat membimbangkan. Disebabkan diabetes jenis 2 adalah penyakit kompleks, perlu ada pilihan rawatan efektif untuk membantu pesakit bagi mengoptimumkan kawalan glisemik mereka,” katanya.

Kaedah terkini rawat diabetes

Kajian terbaru Diabcare 2013 mencatatkan, walaupun dengan kepelbagaian ubatan yang diambil, 76 peratus pesakit gagal mengawal tahap glukosa dalam darah berbanding catatan sebanyak 72 peratus pada 2008.

Ahli Endokrinologi dan Diabetologi Universiti Tubingen Jerman Dr Stephan Jacob berkata, rawatan terkini yang menggunakan terapi suntikan mingguan antara kaedah yang membantu menambah baik pengawalan glisemik bagi pesakit dewasa diabetes jenis 2.

“Once Weekly Bydureon menawarkan komplians yang lebih baik untuk pesakit diabetes jenis 2 dengan pengurangan dua peratus bagi tahap HbA1c dalam tempoh enam tahun.

“Ia meletakkan terapi suntikan mingguan ini sebagai inovasi terbaru bagi rawatan diabetes jenis 2 serta ideal bagi pesakit yang mempunyai gaya hidup aktif tetapi tidak mahu dibebani dengan jadual rawatan,” katanya.

Ujarnya, ia adalah satu-satunya terapi suntikan mingguan di Malaysia dan membantu menambah baik pengawalan glisemik bagi pesakit dewasa yang menghidap diabetes jenis 2 dengan menyalurkan exenatide (bahan aktif) secara terapi berperingkat berpanjangan melalui satu dos bagi tempoh seminggu pada bila-bila masa walaupun dengan perut kosong.

Rawatan ini menawarkan kemudahan komplians untuk pesakit dengan preskripsi dalam bentuk terapi suntikan praisian bagi kegunaan sekali.

Kaedah ini memudahkan pesakit kerana mereka tidak perlu memindahkan ubat daripada vial ke picagari untuk melakukan suntikan.

Tanpa perlu bersusah payah kerana rawatan ini menyediakan dos yang diperlukan secara automatik dan memastikan penyampaian ubat yang mudah dikendalikan bagi kegunaan berterusan.

Melalui kajian keselamatan 26 minggu yang dijalankan, suntikan berkenaan yang diberikan dalam dos sekali seminggu itu memberikan kesan yang lebih baik dalam pengawalan glisemik dengan kepekatan min hemoglobin A1c (HbA1c) tujuh peratus tanpa risiko peningkatan hipoglisemia (kekurangan glukos dalam darah) dengan penurunan berat badan.

Ini penting kerana min kepekatan HbA1c boleh merendahkan risiko penyakit kardiovaskular serta komplikasi mikrovaskular.

Berbanding rawatan diabetes jenis 2 yang lain seperti liraglutide serta titrated insulin glargine, Once Weekly Bydureon dapat membantu mengekalkan pengurangan HbA1c dan hipoglisemia di samping pengurangan berat badan dengan mengurangkan rasa mual dan muntah apabila dibandingkan dengan liraglitude.

Sempena pelancarannya, AstraZeneca turut memperkenalkan Program Sokongan Pesakit B+, Diabetic Nurse Educators bagi pesakit yang menerima rawatan diabetes jenis 2 menggunakan kaedah terapi suntikan berkenaan.

Menurut Presiden AstraZeneca Malaysia, Allen Pationo, data kajian Diabcare 2013 begitu membimbangkan dan program sokongan seumpama itu perlu diketengahkan bagi membantu mereka melakukan rawatan sepatutnya.

“Program sokongan itu juga membantu pengamal perubatan profesional berkomunikasi dengan pengguna kali pertama bagi memberi galakan dan keyakinan mengenai rawatan yang perlu diambil pesakit.

“Justeru, rawatan baru dan program sokongan yang diperkenalkan ini dapat memberi galakan kepada komplians rawatan dan penjagaan diabetes yang lebih baik di negara ini,” katanya.

Hadir sama pada majlis berkenaan, Pengarah Perubatan AstraZeneca (Malaysia), Dr Viraj Rajadhyaksha. Menariknya, program sokongan berkenaan turut memberikan kaunseling dan mendidik pesakit mengenai amalan diet serta gaya hidup yang sihat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 April 2016 @ 5:00 AM