SEORANG penganggur di tahan reman selepas dipercayai memuat naik komen dalam Facebook menghina insitusi Diraja Johor di Mahkamah Majistret Kulai. FOTO Mohd Zain Ahmed
SEORANG penganggur di tahan reman selepas dipercayai memuat naik komen dalam Facebook menghina insitusi Diraja Johor di Mahkamah Majistret Kulai. FOTO Mohd Zain Ahmed
Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Remaja 19 tahun ditahan reman empat hari kerana disyaki membuat kenyataan menghina Institusi Diraja Johor dalam laman sosial Facebook (FB), Februari lalu.

Suspek yang juga penganggur ditahan polis semalam selepas menyerah diri kira-kira 11 pagi, sebelum dibawa ke Mahkamah Majistret Kulai dekat sini, untuk mendapatkan perintah reman, hari ini.

Majistret Ahmad Farid Ahmad Kamal membenarkan tahanan reman ke atas suspek selama empat hari bermula semalam sehingga Ahad ini.

Tahanan reman ke atas suspek dilakukan bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998.

Suspek yang berasal dari Kampung Repek, Pasir Mas, Kelantan disiasat selepas memuat naik komen menggunakan perkataan jelik melalui akaun FB miliknya, 'Muhd Israf' pada 5 Februari lalu ke atas laman FB yang lain mengenai isu sukan bola sepak negeri.

Remaja berkenaan membuat komen itu dipercayai bertujuan menyakitkan hati dan mengganggu orang lain terutamanya pihak Istana Diraja Johor sebelum satu laporan polis dibuat pada 10 Februari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2016 @ 11:24 AM