Sudirman Mohd Tahir


Tanggal 8 Mac lalu genap dua tahun usia perkahwinan pasangan selebriti Puteri Sarah dan Syamsul Yusof.

Puteri Sarah, 31, berkata, sepanjang tempoh itu mereka melalui hari-hari indah seperti ketika mula-mula bercinta dahulu.

“Saya selalu cakap kepada suami, selepas berkahwin tidak mahu menjadi pasangan yang bosan. Macam mana yang dilalukan ketika bercinta dulu, sama juga selepas kahwin.

“Sebagai contoh, apabila kami ada kerja di luar dan tidak bersama, kami saling menghantar mesej. Seboleh-bolehnya kami tidak mahu memadam terus momen bercinta itu. Ibaratnya, setiap hari adalah bercinta,” katanya.

Kongsi Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, dia dan Syamsul sesekali akan meluangkan masa untuk menikmati ‘candle light dinner’ bersama.

Malah, Sarah juga meminta kepada Syamsul untuk pergi bercuti setiap hujung tahun.

“Kalau boleh setiap tahun mahu bercuti sama ada di dalam atau luar negara. Bagi saya, perkara itu dapat mengeratkan lagi hubungan suami isteri.

“Selain itu, setiap tarikh penting 'dalam hidup kami perlu diraikan'. Syamsul pun tidak kisah, malah dia boleh layan dan terima.

“Sehinggakan dia selalu cakap, dalam diri saya ini penuh dengan kasih sayang dan sikap ambil berat. Sebab itu, dia sebagai suami cuba untuk memenuhi setiap permintaan saya,” katanya.

Menurut Sarah, dia bersama keluarga Syamsul termasuk adik iparnya, Syafiq akan bercuti ke London pada hujung tahun ini.

“Sebelum ini Syamsul ada cakap, sekiranya filem Munafik berjaya di pawagam dia meminta saya untuk membuat pilihan lokasi percutian.

“Jadi, saya pun memilih London kerana sudah lama tidak ke sana. Pada masa sama, keluarga Syamsul juga mahu pergi bercuti sekali. Jadi, perancangan itu bertukar kepada percutian keluarga,” katanya.

Masih mencuba dapatkan anak

Selepas mengalami keguguran pada Jun 2014, mereka tidak pernah berputus asa untuk mendapatkan zuriat.

“Kami sentiasa berusaha ke arah itu. Siapa yang tidak mahukan anak, cuma dalam perkara ini ia bergantung kepada rezeki. Jadi, saya dan suami kena sentiasa sabar.

“Kami juga belum terdesak nak memiliki anak. Bukan apa, saya percaya aturan Allah SWT itu lebih baik. Kalau bukan sekarang mungkin tahun depan. Apa-apa pun jangan berhenti daripada terus berdoa,” katanya.

Sarah berkata, dia bertuah kerana mendapat keluarga dan keluarga mentua yang sangat memahami dan tidak pernah memberi tekanan dalam perkara itu.

Dalam perkembangan lain, Sarah kini sibuk menguruskan perniagaan vendor Shara Bangsar, Kuala Lumpur yang mula beroperasi sejak Ogos tahun lalu.

“Alhamdulillah, perniagaan ini semakin mendapat sambutan terutama wanita yang gemarkan fesyen Muslimah. Di butik ini mereka mempunyai banyak pilihan daripada pelbagai jenama.

“Insya-Allah, pada bulan Ramadan ini saya dan suami akan mengeluarkan jenama sendiri sempena menyambut Hari Raya Aidilfitiri,” katanya yang akan membuka cawangan perniagaan itu di Brunei.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2016 @ 9:06 AM