MUELLER (depan) ledak dua gol buat Bayern.
MUELLER (depan) ledak dua gol buat Bayern.
AFP

Munich: Bayern Munich mengorak selangkah lagi dalam laluan memenangi tiga trofi apabila Thomas Mueller menyumbat dua gol ketika menang 2-0 ke atas Werder Bremen sekali gus layak ke final Piala Jerman.

Mueller kini mengumpul 31 gol dalam semua pertandingan, empat dalam piala, apabila pemain berusia 26 tahun itu menanduk masuk pada babak pertama, kemudian menyempurnakan sepakan penalti selepas Arturo Vidal dilihat sengaja merebahkan badan.

Bayern menempah tiket ke final kali ke-21 pada 21 Mei ini di Stadium Olimpik, Berlin, apabila mereka menguasai pegangan bola lebih 70 peratus berbanding Bremen.

Bagaimanapun, penjaring gol kemenangan itu tidak begitu berpuas hati dengan persembahan Bayern.

“Apa yang paling penting adalah layak, tapi kami melakukan terlalu banyak kesilapan dan ia bukannya perlawanan yang memuaskan buat kami,” kata Mueller.

“Kami pernah bermain lebih baik berbanding hari ini, tapi ia satu perasaan menyeronokkan mara ke final.”

Kelab gergasi Bavaria itu akan berdepan sama ada Borussia Dortmund atau Hertha Berlin, yang bertemu pada satu lagi separuh akhir awal pagi tadi, selepas menjulang trofi itu dengan rekod 17 kali. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2016 @ 7:35 AM