Junaidi Ladjana

Tawau: Inspektor polis ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas dipercayai menerima suapan RM3,000 di Jalan Damai, dekat sini, petang tadi.

Pegawai polis itu, 32, yang bertugas di Mahkamah Tawau sebagai pegawai pendakwa ditahan di dalam kenderaan miliknya jam 2.30 petang.

Difahamkan, inspektor ditahan kerana mengurangkan hukuman ahli keluarga pengadu yang ditahan bagi kesalahan dadah.

Suspek dijangka direman esok di Mahkamah Tawau.

Pengarah SPRM Sabah, Datuk Shaharom Nizam Abdul Manap ketika dihubungi mengesahkan penahanan pegawai polis berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Fadil Marsus mengesahkan penahanan itu dan menyerahkan kepada pihak SPRM untuk siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 April 2016 @ 5:42 PM