Anggota polis mengangkat mayat wanita dan anaknya yang ditemui mati di sebuah rumah di Taman Perdana 2, Rawang, semalam. - Foto Fail
Anggota polis mengangkat mayat wanita dan anaknya yang ditemui mati di sebuah rumah di Taman Perdana 2, Rawang, semalam. - Foto Fail
BERNAMA

Serdang: Polis menahan suami wanita yang dipercayai mati dibunuh bersama anaknya di Taman Rawang Perdana 2, Rawang, dekat sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Abd Rahim Jaafar berkata suspek berusia 30-an yang bekerja sebagai pemandu lori itu ditahan di lokasi kejadian kira-kira 3 petang semalam.

Katanya, polis masih lagi menyiasat motif pembunuhan berkenaan dan akan mengambil keterangan keluarga serta jiran mangsa bagi mengetahui hubungan suspek dengan isterinya.

"Polis akan menyiasat dari semua aspek termasuk pergerakan suspek pada hari kejadian menerusi kamera litar tertutup (CCTV)," katanya selepas majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Serdang di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di sini, hari ini.

Pada majlis itu, pemangku Asisten Komisioner Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias dilantik sebagai ketua polis daerah yang baru menggantikan Asisten Komisioner Razimi Ahmad.

Semalam, seorang wanita berusia 34 tahun dan bayinya berusia tujuh bulan ditemui mati di rumah mereka pada kira-kira jam 10 pagi dengan wanita berkenaan ditemui terbaring di tepi katil, manakala bayinya terbaring di atas katil dalam sebuah bilik rumah teres dua tingkat di taman itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 April 2016 @ 7:47 PM