Serdang: Rumah Negeri atau pavilion yang disediakan pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2014 di sini, akan dibuka kepada orang ramai sebagai tarikan baharu pelancong untuk mengenali budaya masyarakat Malaysia.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kos yang diperlukan untuk membina sesebuah pavilion amat tinggi dan adalah tidak berbaloi membiarkannya begitu sahaja selepas MAHA berakhir sebelum digunakan semula dua tahun akan datang.

Beliau berkata, keputusan untuk menjadikannya sebagai ‘Mini Malaysia’ yang menghimpunkan rumah-rumah negeri di Malaysia juga telah dipersetujui oleh Kementerian Palancongan dan Kebudayaan.

“Saya lihat rumah negeri ini mempunyai potensi untuk dipromosikan sebagai kawasan tumpuan berdasarkan kepelbagaian makanan negeri dan persembahan kebudayaan yang ditampilkan.

“Saya telah berbincang dengan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dan kami bersetuju supaya rumah negeri itu terus dibuka sebagai satu tempat tumpuan pelancong yang baharu,” katanya ketika berucap pada majlis penutup MAHA 2014 di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini.

Ismail Sabri berkata, sebagai permulaan, kedua-dua kementerian bersetuju supaya laman pavilion itu dibuka pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad setiap minggu.

Dalam pada itu, beliau berkata sehingga malam semalam, seramai 2.5 juta pengunjung telah mengunjungi MAHA dengan rekod jualan barangan berjumlah RM145 juta.

Daripada jumlah itu, RM44 juta dikutip melalui jualan terus barangan industri asas tani dan produk makanan,” katanya dan menambah sebanyak 17 buah negara luar turut menyertai MAHA.

Pameran selama 11 hari yang akan berakhir esok itu menyasarkan kehadiran seramai 3.5 juta pengunjung dengan sasaran nilai jualan barangan berjumlah RM200 juta. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 November 2014 @ 4:03 PM