PERODUA Viva bertema watak Superman.
PERODUA Viva bertema watak Superman.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Populariti watak adiwira Superman memang tidak asing lagi, malah di negara ini ia turut digilai semua golongan tidak kira jantina atau umur.

Namun, lain ceritanya bagi seorang peminat tegar adiwira itu dari Sungai Petani, Kedah, di mana dia mempunyai cara tersendiri mengabadikan watak Superman pada Perodua Viva dengan menggunakan lukisan cat semburan.

Pemiliknya, Mohd Nazmi Hakim Mohd Nazri, 29, yang meminati watak terbabit semenjak zaman kanak-kanak lagi, nekad untuk mengubah suai keseluruhan jentera itu bertema adiwira berkenaan.

Menurutnya, proses ubah suai jentera keluaran 2009 bermula pada tahun lalu dengan lukisan semburan dihasilkan KF Airbrush.

Selepas kerja semburan yang mengambil masa kira-kira sebulan untuk disiapkan, pemiliknya bertekad menukar enjin turbo Daihatsu YRV bersesaran 1,300cc lengkap dengan Intercooler jenama Apexi.

Mohd Nazmi Hakim yang juga peniaga barangan berprestasi kereta turut meminati sistem audio sehingga sanggup membelanjakan lebih RM20,000 untuk meningkatkan bahagian berkenaan.

Pemiliknya menggunakan pemain cakera jenama Epsilon dan dihubungkan kepada dua amplifier RPM dua hala yang mana setiap satu menghasilkan kekuatan 2,500 watt.

Kemudian proses pendawaian disalurkan kepada empat woofer 12 inci Zulex berkekuatan 1,500 watt.

Selain itu, enam lagi pembesar suara kategori mid berkekuatan 500 watt dari jenama Kingdom bersaiz enam inci serta dua tweeter jenama sama dipasang pada jentera berkenaan.

Walaupun sistem audio jentera tampak bersahaja, ia mampu menghasilkan bunyi menarik dengan penuh bertenaga.

Ruangan untuk memuat­kan sistem audio di dalam but belakang dibina khas serta turut diceriakan dengan lukisan semburan.

Sementara itu, bahagian dalaman masih kekal asli, tetapi mengosongkan ruangan duduk belakang untuk memuatkan komponen sistem audio.

Jentera yang dikenali sebagai Crypton Rock On Wheel menelan kos modifikasi lebih RM35,000 kerap menerima perhatian juri ketika pertandingan. Tempoh kurang setahun pembabitannya, jentera itu menaiki podium hampir 20 kali.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 April 2016 @ 5:00 AM