AHMAD Zahid berucap di majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
AHMAD Zahid berucap di majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Mohd Husni Mohd Noor


Putrajaya: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan bekerjasama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi menentukan kawalan keselamatan lebih ketat terhadap premis yang mempunyai bahan radioaktif di negara ini bagi mengelak ia di salah guna untuk tujuan keganasan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, MOSTI mempunyai senarai premis dan agensi serta syarikat yang mempunyai kemudahan dan bahan-bahan radioaktif di negara ini.

Beliau berkata, pihaknya dan MOSTI akan melakukan penyelarasan bersama bagi memastikan tahap keselamatan berada pada tahap optimum.

"Buat masa ini, premis yang mempunyai bahan radioaktif di negara ini patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang sudah digariskan dan ditetapkan," katanya pada sidang media selepas berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di sini, hari ini.

Justeru, katanya, semua pihak dinasihat tidak mengambil mudah tahap keselamatan di premis yang mempunyai bahan radioaktif bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku.

Ahmad Zahid berkata, pendirian itu diambil hasil dari resolusi yang dicapai pada Sidang Kemuncak Keselamatan Nukluer (NSS) di sertai delegasi dari 53 buah negara di Washington DC, Amerika Syarikat baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 April 2016 @ 2:56 PM