SULTAN Nazrin bertitah di Majlis Pelancaran Waqaf Perak Ar-Ridzuan. Muhaizan Yahya
SULTAN Nazrin bertitah di Majlis Pelancaran Waqaf Perak Ar-Ridzuan. Muhaizan Yahya
Muhammad Apendy Issahak


Ipoh: Usaha mengagihkan kekayaan secara adil, secara saksama wajib dirintis untuk memastikan berlakunya keadilan dan nasib insan miskin terbela, titah Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Titahnya, antara punca dikenal pasti menyebabkan berlakunya jurang agihan kekayaan yang semakin melebar ketika ini, ialah sifat tamak mahu mengaut keuntungan hingga ke tahap bersedia melakukan pelbagai manipulasi dengan tujuan mahu mengelakkan diri daripada memenuhi tanggungjawab kewangan dan tanggungjawab sosial terhadap masyarakat dan negara.

"Trend ketidakseimbangan agihan kekayaan ini semakin melebarkan jarak antara yang kaya dengan yang miskin; kemiskinan serta tekanan kemiskinan adalah antara faktor yang mempengaruhi kepada tercetusnya pelbagai konflik dan krisis di serata dunia," titahnya.

Baginda bertitah, wakaf adalah satu mekanisme yang membolehkan pengagihan ekonomi secara adil lagi saksama, direalisasikan.

"Pada era kegemilangan Islam, wakaf terbukti digunakan secara efektif untuk memenuhi keperluan hidup masyarakat.

"Wakaf bukan sahaja memenuhi peranan sebagai mekanisme pengagihan kekayaan secara adil, secara saksama, tetapi turut berperanan memperkukuhkan keupayaan individu dan keupayaan masyarakat yang memerlukan bantuan," titah baginda di Majlis Pelancaran Dana Waqaf Perak Ar-Ridzuan di sini hari ini.

Sultan Nazrin bertitah, di negara ini wakaf sebagai instrumen kewangan bukanlah subjek asing dan wakaf adalah sumber yang telah membiayai pembangunan institusi-institusi pendidikan tradisi seperti pondok, madrasah, sekolah agama, surau dan masjid.

"Namun wakaf yang telah memiliki asas dan menunjukkan kejayaan awal, kemudiannya bukan sahaja gagal berkembang malah ia terus menguncup, disebabkan faktor pengurusan yang lemah dan kurang profesional untuk menghadapi senario ekonomi dan perniagaan yang lebih dinamik dan mencabar.

"Alhamdulillah, kini telah berlaku satu kesedaran, satu kebangkitan, satu kelahiran semula, satu renaisans terhadap instrumen-instrumen kewangan Islam," titahnya.

Keterangan gambar:

SULTAN NAZRIN melancarkan Waqaf Perak Ar-Ridzuan. FOTO Muhaizan Yahya

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 April 2016 @ 2:46 PM