Keadaan rumah mangsa yang terbakar. FOTO Muhamad Izzat Nasuruden
Keadaan rumah mangsa yang terbakar. FOTO Muhamad Izzat Nasuruden
Muhamad Izzat Nasuruden


Ipoh: Wanita warga emas berusia 71 tahun yang juga uzur, melecur pada bahagian badan ketika cuba menyelamatkan cucunya, orang kurang upaya (OKU) selepas rumahnya di Medan Klebang Prima, di sini, terbakar dalam kejadian tengah malam tadi.

Dalam kejadian 12.40 tengah malam itu, mangsa Kamaliah @ Jamaliah Ibrahim, 71, dan cucunya berjaya diselamatkan oleh anak perempuannya, Sara Banu Abdul Ghani, 50, ketika api mula merebak di dalam rumah mereka.

Menurut Sara, kebakaran berlaku di bilik utama rumah mereka yang berhampiran dengan pintu utama rumah berkenaan.

"Ketika kebakaran berlaku, saya terdengar bunyi letupan seperti mercun di bahagian bilik sebelum menyedari seluruh rumah dipenuhi asap.

"Ibu saya yang panik cuba mencari anak saudara saya yang juga OKU di dalam bilik berkenaan sebelum saya berjaya membawa mereka keluar dari rumah itu," katanya ketika ditemui di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), pagi tadi.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Ipoh, P Samasuvam berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.47 tengah malam tadi.

Katanya, kebakaran itu menyebabkan rumah berkenaan 40 peratus terbakar.

“Punca kebakaran masih disiasat,” katanya

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 April 2016 @ 6:31 PM