SUSPEK ditahan selepas terbabas ke dalam longkang. FOTO ihsan polis
SUSPEK ditahan selepas terbabas ke dalam longkang. FOTO ihsan polis
Shamsul Munir Safini


Bukit Mertajam: Dua remaja lelaki diberkas polis selepas motosikal dinaiki terbabas ke dalam longkang sejurus menendang motosikal pihak berkuasa yang mengejar mereka di Jalan Kilang Ubi, Cherok Tokun di sini, semalam.

Dalam kejadian 4.30 petang itu, kedua-dua lelaki berusia 17 tahun berkenaan melarikan diri selepas didekati polis kerana berada dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor berkata, sebaik dihampiri kedua-dua remaja berkenaan bertindak melarikan diri dengan motosikal.

Beliau berkata, anggotanya yang mengejar mereka dengan menunggang motosikal sehingga ke Jalan Kulim dihimpit dan ditendang dua remaja berkenaan.

"Suspek gagal mengawal motosikal dinaiki sebelum terbabas ke dalam longkang berdekatan sebuah stesyen minyak di situ.

"Ketika pemeriksaan dilakukan, polis menjumpai senjata buku lima di kepala tali pinggang salah seorang daripada mereka," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurutnya, mereka dipercayai menggunakan senjata itu untuk memecahkan cermin kereta sebelum melakukan samun.

Rusli berkata, air kencing mereka berdua juga didapati positif dadah jenis amphetamine dan akan mendapatkan perintah reman ke atas kedua-dua mereka bagi tujuan siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan Letupan & Senjata Berbahaya 1958.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 April 2016 @ 3:16 PM