Maimunah. FOTO Recqueal Raimi
Maimunah. FOTO Recqueal Raimi
Pengawal keselamatan menutup pintu pagar SMK Benoni, Papar yang ditutup hari ini kerana IPU jerebu pada tahap tidak sihat. FOTO Izhari Ariffin
Pengawal keselamatan menutup pintu pagar SMK Benoni, Papar yang ditutup hari ini kerana IPU jerebu pada tahap tidak sihat. FOTO Izhari Ariffin
Recqueal Raimi


Tamparuli: Sebanyak 83 sekolah rendah dan menengah di tiga daerah akan ditutup esok selepas catatan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan itu masih merekodkan kualiti tidak sihat.

Pemangku Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) Maimunah Suhaibul berkata, sebanyak enam sekolah turut ditutup hari ini, bertambah kepada 83 sekolah berbanding hanya 77 sekolah seperti dilaporkan semalam.

"Enam sekolah yang turut ditutup di Beaufort, Papar dan Kuala Penyu adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Kimanis, SK Our Lady Fatima, SK Kelatuan, SK Tanaki, SK Tampasak dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bongawan II.

"Jumlah ini membabitkan 53 sekolah di Beaufort, 16 sekolah di Papar dan 14 sekolah di Kuala Penyu membabitkan 22,782 murid dan pelajar," katanya selepas melancarkan Kem Membaca 1Malaysia (KM1M) 2016 di SMK Tamparuli, pagi ini.

Maimunah berkata, berdasarkan laporan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bacaan IPU di tiga daerah berkenaan pada jam 6 pagi tadi adalah 223.

"Jika ada sekolah lain di tiga daerah ini yang terjejas akibat jerebu, pihak atasan sekolah boleh mengambil keputusan menutup sekolah dengan memaklumkan terlebih dahulu kepada pejabat pendidikan daerah dan JPNS.

"Kami akan terus melakukan pemantauan dan sekiranya esok bacaan IPU menurun, sekolah akan dibuka semula seperti biasa pada 6 April," katanya.

Menurut Maimunah, setakat ini tiada sekolah di sekitar Kota Kinabalu dan daerah lain ditutup berikutan jerebu kecuali tiga daerah berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 April 2016 @ 4:02 PM