Meerut (India): Seorang pelayan berusia 26 tahun mati ditembak pelanggan di sebuah hotel selepas mendesak mereka membayar harga dua keping capati tambahan yang dipesan.

Saksi berkata, sekurang-kurangnya lapan lelaki terbabit dalam pertengkaran yang akhirnya mengakibatkan kematian di Hotel Libra itu.

Pegawai polis Sadar Bazar, Gajendra Pal Singh berkata, lelaki terbabit juga dipercayai mabuk dan mencari gaduh dengan pelayan itu yang cuba menenangkan mereka.

“Kejadian berlaku jam 10 malam. Pelanggan itu enggan membuat bayaran walaupun memesan dua capati tambahan.

“Keadaan itu memaksa Ratan Singh mendesak mereka menjelaskan bayaran berkenaan,” katanya.

Akibatnya, kata Gajendra, Ratan diserang dan berlaku pergelutan.

“Seorang daripada pelanggan itu kemudian menembak Ratan,” katanya.

Menurut Gajendra, beberapa tembakan kemudian dilepaskan ke udara menyebabkan orang ramai panik.

“Tiga suspek sudah dikenal pasti dan yang lain masih diburu,” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 November 2014 @ 5:08 AM