JAMAL mahu tinggalkan memori terindah buat penganjur, peminat.
JAMAL mahu tinggalkan memori terindah buat penganjur, peminat.
Sudirman Mohd Tahir


Bahang Konsert Ledakan 25 Tahun Harian Metro bersama Yeo’s Yeogurt yang diadakan di Setia City Park @ Oval Lawn, Setia Alam pada Sabtu ini semakin terasa.

Sejak ia diumumkan, semua artis yang bakal membuat persembahan meluahkan rasa teruja.

Masing-masing tidak sabar mahu menghiburkan pengunjung yang datang apatah lagi ia bersempena menyambut ulang tahun ke-25 akhbar nombor satu ini.

Pembabitan raja pop Malaysia, Datuk Jamal Abdillah bukan sahaja dianggap ikonik kepada perkembangan Harian Metro, malah ia lebih kepada tanda penghargaan penyanyi lagu Azura ini.

“Sepanjang 38 tahun pembabitan saya sebagai anak seni, Harian Metro ada bersama-sama saya sejak 25 tahun lalu. Pendek kata, HM sentiasa membantu saya terutama berkaitan kerjaya seni.

“Apabila ditawarkan membuat persembahan, saya terus menyatakan persetujuan. Bukan apa, sempena meraikan hari bersejarah HM, ini adalah tanda penghormatan dan terima kasih saya kepada HM. Saya banyak terhutang budi,” katanya.

Kongsi Jamal lagi, konsert ini adalah pembabitan pertamanya bersama Harian Metro.

“Jarang sekali konsert terbuka berskala besar sebegini menggabungkan penyanyi lama dan baru. Usaha HM wajar dipuji kerana menghargai penyanyi lama seperti saya.

“Pastinya pada malam itu nanti pengunjung berasa puas dengan rangkaian lagu yang disampaikan 14 artis ternama,” katanya.

Jamal berkata, meskipun sering menjayakan pelbagai acara, pembabitannya dalam konsert ini lebih bersifat sentimental.

Berkenaan lagu yang bakal dinyanyikan, Jamal menyelitkan elemen kejutan agar ia menjadi memori terindah buat penganjur dan peminat.

“Bersesuaian dengan suasana konsert, saya akan menyanyikan lagu rancak. Cuma, lagu apa yang akan dinyanyikan, tunggu pada malam itu nanti,” katanya.

Pemenang tempat ketiga pertandingan Dangdut Academy 2015 di Indonesia tahun lalu, Shiha Zikir menyifatkan pembabitannya sebagai membalas jasa.

“Alhamdulil­lah, saya sangat bersyukur kerana terpilih menjadi sebahagian daripada artis yang membuat persembahan. Dalam masa sama, saya gembira kerana selama ini Harian Metro banyak membantu kerjaya saya.

“Pembabitan saya dalam konsert ini secara tidak langsung dapat membalas budi HM di atas sokongan selama ini,” katanya.

Sambung Shiha, berkongsi pentas dengan beberapa pe­nyanyi hebat tanah air sesuatu di luar jangkaannya.

Jauh di sudut hati, dia berasa kerdil dan terlalu muda untuk berkongsi pentas dengan mereka.

“Rasa segan pun ada, tetapi ini adalah peluang terbaik dan rugi jika saya tolak. Tentu saja ia bakal meninggalkan kenangan manis dalam kerjaya saya.

“Selain itu, saya tetap berasa bangga kerana dapat berdiri dan berkongsi pentas dengan mereka. Kesempatan ini akan saya pergunakan sebaik-baiknya kerana belum tentu akan dapat peluang sedemikian lagi,” katanya.

Shiha turut berharap konsert sebegini dapat dijadikan acara tahunan kerana penyanyi dan wartawan saling memerlukan.

Digelar Rossa Malaysia, Shiha bakal menyampaikan lagu Hey Ladies nyanyian asal Datuk Rossa dan single terbarunya berjudul Seperti Novel Cinta.

Selain Jamal dan Shiha, penyanyi lain yang terbabit dalam Konsert Ledakan 25 Tahun Harian Metro ialah Ella, Dayang Nurfaizah, Amy Search, Ronnie Hussein, Tasha Manshahar, Syed Shamim, Ezad Lazim, Ayda Jebat, XPDC dan Papinka (Indonesia).

Pemilihan pasangan pengacara popular, Sherry Alhadad dan AG Kool FM dilihat mampu menghidupkan suasana majlis berdasarkan persembahan mereka sebelum ini.

Pengunjung yang hadir sepanjang penganjuran karnival 25 tahun Harian Metro pada Sabtu dan Ahad ini turut berpeluang menyertai pelbagai aktiviti menarik antaranya Zumba Metro, Ejector Trampoline, karaoke, peraduan di Instagram, pertandingan gusti lengan dan permainan kereta kawalan jauh.

Terdapat juga aktiviti untuk kanak-kanak seperti buih sabun gergasi, ‘sand art’ dan pertandingan mewarna.

Pengunjung boleh menjamu selera di 25 trak makanan yang menjual aneka juadah lazak termasuk rojak, cendol, nasi lemak, burger dan char kue tiau.

Selepas konsert ini, siri jelajah Harian Metro diteruskan di MFan City Mall, Miri, Sarawak pada 15 hingga 16 April dan Padang Merdeka, Kuching, Sarawak (23 dan 24 April).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mac 2016 @ 12:32 PM