myMetro

Jenis makanan yang dimakan si kecil akan memberi kesan secara langsung kepada pertumbuhan mereka. Pengambilan nutrisi yang mencukupi, seimbang dan lengkap dapat memastikan pertumbuhan mereka secara optimum sehingga dapat membantu perkembangan sosialnya.

Makanan si kecil juga sebenarnya akan membantu sistem imuniti mereka. Jenis makanan bergizi mampu menjadikan sistem kekebalan tubuh si kecil berada pada tahap puncak sehingga mampu menghalang serangan penyakit dari luar.

Antara pelbagai jenis makanan sihat, ada beberapa makanan yang mampu menjaga bahkan meningkatkan kekebalan tubuh si kecil.

Jenis makanan itu ideal dimakan setiap hari terutama saat si kecil melalui fasa pemulihan selepas sakit atau ketika musim selesema. Berikut lima jenis makanan yang dapat meningkatkan sistem kekebalan tubuh kanak-kanak.

1. Yogurt

Makanan olahan susu dengan rasa yang segar ini mengandung bakteria baik yang dikenali sebagai probiotik. Pengambilan yogurt secara teratur terbukti dapat meningkatkan fungsi sistem pencernaan dan membantu memerangi bakteria jahat dalam sistem pencernaan.

Hasil penelitian menunjukan anak-anak yang terbiasa mengambil minuman ini terbukti lebih tahan terhadap serangan penyakit selesema, jangkitan telinga, dan jangkitan saluran pernafasan.

2. Kefir

Kefir ialah minuman susu fermentasi yogurt tapi berbentuk lebih cair. Biasanya kefir dibuat daripada susu lembu atau kambing yang melalui proses fermentasi menggunakan beberapa jenis bakteria daripada kelompok Lactobacillus.

Seperti yogurt, kandungan bakteria baik dalam kefir mampu meningkatkan kekebalan tubuh daripada perlbagai serangan bakteria jahat.

3. Walnut

Kacang walnut diketahui kaya dengan asid lemak omega-3 yang menyihatkan. Dipercayai kandungan omega-3 dalam walnut mampu meningkatkan imuniti si kecil terhadap serangan penyakit. Hasil satu penelitian melaporkan pengambilan walnut dapat menurunkan risiko terkena penyakit jangkitan saluran pernafasan pada kanak-kanak.

4. Buah dan sayuran

Kandungan zat fitonutrien dalam sayuran dan buah-buahan dipercayai dapat menangkis sumber penyakit termasuk radikal bebas pada si kecil. Pakar kesihatan kanak-kanak menggalakkan si kecil memakan buah dan sayuran segar setiap hari agar sentiasa sihat. Kandungan vitamin C yang tinggi dalam beberapa jenis buah dan sayuran seperti mangga, strawberi, brokoli dan kentang mampu mengurangkan risiko terkena penyakit flu pada anak-anak.

5. Daging rendah lemak

Selain bagus untuk pertumbuhan kerana kandungan proteinnya yang tinggi, daging lembu, ikan dan ayam tanpa lemak juga dipercayai dapat meningkatkan kekebalan tubuh si kecil. Daging terbabit banyak mengandungi unsur zink yang diperlukan sel darah putih untuk memerangi sumber penyakit dari luar.

Untuk menjaga daya imuniti si kecil, pastikan ibu bapa perlu memberi jenis makanan yang pelbagai. Berikan sumber nutrisi yang mengandung protein, karbohidrat, lemak, vitamin dan mineral. Gabungkan dengan lima jenis makanan di atas untuk hasil yang lebih maksimum.

Berikan makanan yang cukup, bukan berlebihan. Makanan bukanlah ubat tetapi nutrisi yang membantu tubuh si kecil bekerja secara optimum termasuk sistem pertahanan tubuhnya. Ketika tubuh si kecil sudah mendapatkan vitamin dan mineral diperlukannya, sisa pengambilan makanan berlebihan akan dibuang keluar dari tubuh.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2016 @ 12:10 PM