Oleh Hartini Mohd Nawi

Tampil dengan kepakaran berbeza dalam seni pertukangan kayu membuatkan Sari Langkasuka Enterprise antara yang menjadi sebutan.

Pengusahanya, Ridzuan Jamil, 32, mempunyai cara tersendiri dalam membantu memartabatkan khazanah yang tidak mungkin lapuk ditelan zaman itu.

Anak muda ini juga selesa dalam menghasilkan seni ukiran kayu Melayu lama dan aksesori rumah.

Ia termasuk papan pemanis pada anjung, serambi atau beranda, kekisi tangga dan pintu.

"Saya cuba sedaya mungkin untuk mengadaptasikan sejarah kegemilangan seni ukiran kayu di zaman kerajaan Langkasuka.

"Pada ketika itu banyak motif daun diketengahkan dan ia sebenarnya menjadi inspirasi kepada saya untuk menjadikannya sebagai identiti," katanya yang meminati dunia seni pertukangan sejak kecil.

Bagi Ridzuan, motif daun mempunyai keunikan dan tarikan tersendiri. Motif daun yang cuba diketengahkan berasaskan ciri tradisional Melayu lama ialah motif daun jejari buaya, daun serta bunga ketumbit dan daun bakawali.

Namun, itu tidak bermakna dia menolak kelainan motif ukiran bunga. Ini kerana pelbagai motif bunga turut dihasilkan selari dengan permintaan pelanggan.

"Kayu yang menjadi pilihan utama saya ialah kayu cengal. Disebabkan kos bahan mentah terlalu tinggi, saya mencari alternatif lain.

"Kini saya banyak me-ngukir pada kayu mersawa kerana harga lebih murah dan ketahanannya hampir sama dengan kayu berkualiti tinggi seperti cengal," katanya yang turut menghasilkan pintu lipat kayu.

Menurut Ridzuan, proses mengukir bermula dengan memilih kayu. Kebiasaan-nya kayu yang hendak diukir mestilah matang dengan urat yang pejal.

"Kayu dibelah dan dibiarkan kering. Selepas cukup kering, kayu dipotong dan diketam mengikut ukuran produk yang diperlukan.

"Seterusnya proses membuat reka corak dimulakan. Bahagian permukaan kayu dilakar dengan reka corak dan motif yang dirancang.

"Bahagian yang hendak dibuang ditebuk menggunakan peralatan mengukir seperti pahat pelbagai saiz, penukul dan peralatan lain," katanya.

Menariknya, anak kelahiran Batu Pahat ini juga pernah mengikuti pengajian ukiran kayu selama dua tahun di Institut Kraf Negara (IKN) demi minat yang mendalam.

Tamat pengajian, dia kemudian menggunakan peluang sepenuhnya dengan mengikuti latihan praktikal dengan pengukir kayu tersohor, Norhaiza Noordin.

"Banyak ilmu baru saya timba dan mempelajari teknik ukiran kayu dengan sifu saya itu.

"Sesungguhnya pengalaman itu banyak membantu saya untuk terus memartabatkan seni pertukangan kayu," katanya.

Berminat sila kunjungi Sari Langkasuka Enterprise yang terletak di No 65, Jalan Baru Simpang 5, Batu Pahat, Johor.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 November 2014 @ 5:00 AM