RAFIDAH Rahmat (kanan) membantu pesakit melakukan terapi senaman.
RAFIDAH Rahmat (kanan) membantu pesakit melakukan terapi senaman.
TERAPI secara manual.
TERAPI secara manual.
myMetro

Ramai beranggapan fisioterapi hanya membabitkan rawatan kecederaan selepas bersukan atau kemalangan. Namun sebenarnya bidang fisioterapi ini sangat luas dan bukan saja untuk kecederaan olahraga, artritis, sakit leher dan punggung tetapi juga membantu dalam pengurusan penurunan berat badan menerusi aktiviti fizikal dan juga pemakanan.

Ini kerana obesiti dalam kalangan pekerja membuatkan kualiti kerja terganggu disebabkan masalah sakit sendi, sakit tulang belakang dan sakit lutut.

Lebih memburukkan keadaan bagi mereka yang bekerja di barisan hadapan dan melayan pesakit dan juga pelanggan. Itu belum termasuk masalah berkaitan tekanan darah tinggi, diabetes dan penyakit jantung.

Sudah tentu ini mengganggu prestasi kerja serta berkaitan dengan pengurusan sesebuah jabatan. Jika ia berlaku, ramai kakitangan mengambil cuti sakit kerana perlu mendapatkan rawatan. Ada juga tidak dapat melakukan kerja dengan bersungguh-sungguh serta rasa kurang yakin.

Menyedari masalah ini Jabatan Fisioterapi Hospital Pusrawi mengadakan Program Penurunan Berat Badan dengan mengambil kakitangan sebagai uji kaji pertama dengan memberikan tumpuan kepada mereka yang mempunyai Indeks Jisim Badan (BMI) 30 ke atas.

Menjelaskan lebih lanjut, menurut Ketua Jabatan Fisioterapi Hospital Pusrawi Mohd Hisham Mohd Saleh selain masalah penyakit, obesiti mengganggu sendi dan tulang sekali gus menyebabkan pergerakan terbatas.

“Bagi yang bekerja di barisan hadapan, amat penting memiliki berat badan ideal. Menerusi program penurunan berat badan ia bukan semata-mata aktiviti fizikal sebaliknya peserta diajar diet harian lengkap agar mereka dapat mendisiplinkan diri di rumah,” katanya.

Ramai yang keliru dan beranggapan fisioterapi untuk merawat pesakit tetapi sebenarnya membantu meredakan rasa sakit bagi membolehkan individu melakukan aktiviti secara normal. Ahli fisioterapi secara terlatih akan mendiagnosis masalah yang sering dihadapi individu terutama berkaitan otot dan sendi secara tepat dan efektif.

“Kami menggunakan pelbagai kaedah penyembuhan iaitu menerusi latihan terapi, elektroterapi dan terapi manual. Untuk itu fisioterapi tidak hanya menyembuhkan rasa sakit secara sementara, tetapi membantu memperbaiki postur tubuh, memperbaiki gerakan dan membantu mencegah masalah pada masa akan datang,” katanya.

Namun setiap sesi latihan bergantung kepada rujukan doktor. Untuk elektro terapi biasanya doktor memberikan ubat penahan sakit bagi memberikan kelegaan. Namun ubat ini akan meninggalkan kesan jangka panjang. Menerusi elektro terapi ia tidak menggunakan ubat-ubatan malah tidak memberikan kesan kepada organ dalaman. Ia hanya memberikan tumpuan pada bahagian yang sakit saja.

“Misalnya pesakit mengalami masalah lutut, ahli fisio akan memberikan terapi elektro kepada bahagian lutut saja. Ini dapat mengurangkan kesakitan dan bengkak pada otot mereka sekali gus membolehkan pesakit bergerak normal,” katanya.

Tambahnya, fisioterapi ialah langkah penyembuhan yang paling banyak digunakan dalam pelbagai masalah saraf, otot dan sendi, rehabilitasi pasca strok, Parkinson serta struktur tulang yang tidak betul.

Fisioterapi kurangkan berat badan

Menerusi program penurunan berat badan, mereka yang mempunyai BMI 30 ke atas akan menjalani latihan intensif menerusi program yang diatur selama empat bulan. Dalam tempoh ini, peserta diberikan nasihat menerusi pemakanan. Berat badan pada hari pertama diambil bersama sesi rundingan .

Menurut fisioterapi Mohd Shahfardaus Shabuddin, berat badan sering dikaitkan dengan penyakit tiga serangkai. Untuk itu, data peserta diambil bagi menentukan tahap kesihatan mereka. Ini sangat penting kerana penyakit seperti darah tinggi dan kencing manis turut dipengaruhi genetik keluarga.

“Daripada pemerhatian, ramai yang mahu mengatasi masalah berat badan melampau atau obesiti namun mereka tidak tahu cara memulakannya. Ada yang membeli ubat-ubatan di luar dan tidak berhasil. Sudah tentu ia memberikan rasa kecewa jika apa yang diinginkan tidak menjadi kenyataan. Sebab itu, program ini diatur supaya mereka dapat mengikuti semua latihan secara intensif dan konsisten bersama jurulatih masing-masing,” katanya.

Bagi mendapatkan hasil yang diinginkan, program fisio fizikal direka bagi memberikan impak tinggi kepada peserta. Ini kerana masalah kegemukan biasanya akan mengganggu pergerakan. Misalnya mereka sering mengadu sakit lutut, tulang belakang dan leher yang menyebabkan pergerakan terbatas.

“Misalnya jururawat memerlukan fizikal yang cergas dan sihat kerana mereka insan pertama berhadapan dengan pesakit. Bayangkan sekiranya di dewan bedah mereka tidak mampu mengangkat pesakit atau menolak troli sudah tentu ia memberikan masalah. Sebab itu pentingnya kecergasan untuk menjalani kehidupan sihat,” katanya.

Jalani tarian aero

Mereka yang mempunyai berat badan berlebihan biasanya tidak mahu melakukan aktiviti fizikal disebabkan rasa sakit pada anggota badan. Namun ada pergerakan yang boleh dilakukan tidak terlalu berat atau berintensiti tinggi. Apa yang penting, mereka berasa seronok, gembira dan ingin melakukannya setiap minggu.

Bagi mewujudkan keceriaan, tarian aerobik secara sederhana dan perlahan diberikan supaya badan mengeluarkan peluh dan seterusnya membakar lemak dalam badan. Pergerakan secara perlahan ini memberikan ruang peserta menggerakkan seluruh badan mereka. Untuk senaman kardio pula ia berkaitan dengan jantung.

“Senaman ini direka supaya tidak meninggalkan kesakitan terhadap badan selepas melakukannya. Mereka akan rasa bertenaga selepas melakukannya dalam beberapa sesi. Senaman ini juga memberikan tumpuan kepada perut, pinggul dan paha iaitu bahagian yang sering menjadi masalah bagi wanita,” katanya.

Menurut Shahfardaus, menerusi maklum balas diterima, peserta sangat berpuas hati dengan hasil diperolehi malah ada yang dapat menurunkan berat badan sehingga tujuh kilogram dalam masa

dua bulan. Program ini diharap menjadi program pemangkin yang dapat diperluaskan kepada masyarakat di luar. Mungkin bermula dengan penduduk di kawasan sekitar Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mac 2016 @ 5:00 AM