Faizatul Farlin Farush Khan


Menghasilkan wangian mengikut cita rasa orang bangsawan bukan suatu tugas yang mudah tetapi bagi Pengarah Kreatif jenama haruman Amouage, Christopher Chong ia memberi makna tersendiri dalam hidupnya.

Amouage ialah haruman mewah yang diasaskan oleh sultan di negara Oman 33 tahun lalu dan Christopher adalah nama penting dalam memberi kelainan serta sentuhan eksklusif yang ingin ditampilkan oleh jenama itu sejak sembilan tahun lalu.

Menyingkap pembabitannya dalam dunia haruman mewah, beliau yang juga mempunyai bakat sebagai penyanyi opera itu berkongsi pengalamannya yang unik.

Soalan (S): Ceritakan bagaimana anda boleh terbabit dalam dunia haruman./b>

Jawapan (J):/b> Semuanya berlaku secara kebetulan dan saya tidak pernah merancang memasuki dunia haruman sebaliknya hanya mengikut takdir hidup saya.

Saya berasal dari Hong Kong dan dibesarkan di New York. Ketika melanjutkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Kesusasteraan Perbandingan di Universiti Fordham, New York, saya memulakan agensi model sendiri dan bekerjasama dengan peĀ­ngarang dunia fesyen dalam usaha menampung yuran pengajian.

Kemudian, saya berpindah ke London untuk menyambung pengajian di peringkat Sarjana Seni Kesusasteraan, Bahasa dan Pemikiran Eropah sebelum mengambil kursus di kolej berprestij, London College of Fashion.

Pada masa sama, saya menjalani latihan sebagai penyanyi klasik opera selama 10 tahun. Melalui kerjasama dengan pelatih dan guru opera terkenal seluruh dunia, saya turut mengambil bahagian dalam festival dan pertandingan opera antarabangsa.

Ketika itu, Amouage sedang melakukan perubahan dan mahukan orang dari dunia seni klasik untuk memberi nafas baru kepada harumannya. Mereka mahu mencari orang luar dan membuka sesi temu duga.

Saya terpanggil untuk mencuba dan tidak sangka dipilih kerana langsung tidak mempunyai latar belakang atau pengetahuan dalam bidang wangian ketika itu.

Saya hanya bercerita mengenai opera dan bagaimana sebuah lagu yang dinyanyikan memberi gambaran keinginan kepada kehidupan abadi dengan menyanyi kepada bulan.

Gambaran yang saya berikan itu membuatkan penghasil minyak wangi tertarik dan saya dilantik sebagai pengarah kreatif wangian itu sehingga hari ini.

S: Bagaimana skop bidang tugas anda? /b>

J:/b> Saya bermula dengan menghasilkan haruman dalam bentuk lilin sebagai tanda menentang kekejaman terhadap haiwan. Saya seorang yang berpegang kuat kepada perkara itu dan selepas itu, saya diminta menghasilkan haruman dalam bentuk lain.

Kemudian, saya kembangkan idea dan suka kepada ilham yang memberikan bauan lembut tetapi tetap mempunyai elemen yang kuat serta mempunyai unsur bangsawan, tidak kira untuk wangian lelaki atau wanita.

Bahan untuk menghasilkan haruman bukan calang-calang kerana ia berkualiti tinggi dan dicari di seluruh dunia. Hanya yang terbaik akan dipilih kerana saya mahu menghasilkan haruman dengan kelas tersendiri.

Kotak bagi minyak wangi yang dihasilkan juga bersifat mesra alam dan boleh digunakan semula sebagai beg bimbit untuk membawa barang kecil.

Saya bekerjasama dengan pembuat haruman dari Grasse, Paris, Geneva dan New York, untuk menghasilkan minyak wangi dalam kategori terbaru.

Selain menghasilkan minyak wangi, saya juga bertanggungjawab dalam aspek kreatif syarikat termasuk perhubungan awam, pemasaran, rekaan dan produksi.

S: Apa perasaan anda apabila mula-mula terpilih sebagai pengarah kreatif bagi menghasilkan minyak wangi? /b>

J:/b> Tidak pernah sekali pun saya menyangka akan terbabit dalam menghasilkan minyak wangi tetapi bagi saya, kita tidak seharusnya melepaskan peluang besar yang diberikan ini.

Biarpun tanpa sebarang pengalaman, idea baru, kreativiti dan keaslian yang diingini dapat memberikan suntikan kepada haruman supaya ia tampil lebih segar dan eksklusif.

S:Apakah makna minyak wangi pada anda? /b>

J: Minyak wangi pada saya ialah haruman yang mampu merentasi sempadan budaya dan ia mempunyai penceritaan tersendiri. Haruman itu sendiri umpama bercerita dan bahannya dipilih melalui fantasi dan keajaiban. Pada saya minyak wangi juga sejenis kesusasteraan. Ia adalah seni dan emosi yang dibotolkan.

Saya bekerja dari pejabat di London dan saya juga selalu mengembara untuk bertemu pelanggan dari pelbagai latar belakang. Ia membuatkan bidang kerja saya semakin menarik kerana ia membuka peluang kepada saya untuk berkongsi cerita melalui minyak wangi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mac 2016 @ 11:38 AM