MANGSA terbakar di kaki dan kepala. FOTO ihsan Bomba
MANGSA terbakar di kaki dan kepala. FOTO ihsan Bomba
Junaidi Ladjana

Kota Belud: Mayat wanita warga emas ditemui melecur hampir 50 peratus dipercayai akibat terbakar ketika dia membakar semak di kebun getah di Kampung Purak Kogis, Kota Belud, kira-kira 1 petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Rozlan Osman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.03 petang dan segera ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kita dapati wanita itu terbakar di kaki dan kepala sudah meninggal dunia.

"Anggota bomba kemudian menyerahkan mayat mangsa yang dikenali sebagai Yagoi Golok, 79, kepada pihak polis untuk siasatan lanjut dan operasi memadam kebakaran semak di kebun getah diteruskan.

"Api dikawal tidak sampai sejam dan kebakaran membabitkan kebun getah dengan keluasan enam hektar," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Difahamkan, mangsa keluar dari rumah menuju ke kebun getah dipercayai untuk membakar rumput yang dibersihkannya sebelum ditemui dalam keadaan melecur akibat terbakar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mac 2016 @ 6:07 PM