Junaidi Ladjana dan Norasikin Daineh

Tawau: Dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditahan Polis Republik Indonesia (POLRI) ketika membeli makanan di restoran di Desa Seberang, Pulau Sebatik, Indonesia, pagi semalam.

Lans Koperal dan Koperal, masing-masing berusia 34 dan 41 tahun itu ditahan kerana memasuki sempadan negara republik itu tanpa mendapat keizinan, pada 11.15 pagi.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kedua-dua anggota ditahan kerana masuk ke negara berkenaan untuk membeli makanan.

"Memang ada dua anggota polis kita ditahan kerana masuk ke kawasan Indonesia tanpa izin. Siasatan awal mendapati mereka (anggota polis) hanya ingin membeli makanan di kawasan itu," katanya.

Bagaimanapun, katanya, dua anggota polis itu sudah dibebaskan dan kembali semula ke pos kawalan di sempadan hasil kerjasama daripada POLRI.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mac 2016 @ 12:02 AM