New Delhi: Dua remaja perempuan yang ditemui tergantung pada sebatang pokok Mei lalu disahkan bukan menjadi mangsa rogol seperti jangkaan ramai, sebaliknya mati membunuh diri.

Biro Siasatan Pusat (CBI) semalam berkata, siasatan mendalam mengesahkan remaja berusia 12 dan 14 tahun tidak dirogol.

Kenyataan CBI berkata, mereka meneliti 40 laporan saintifik berhubung kes berkenaan sebelum membuat kesimpulan itu.

Akhbar The Hindustan Times pula memetik sumber yang mendakwa, remaja terbabit menggantung diri kerana tertekan akibat dihalang keluarga daripada berhubung dengan penduduk kampung.

Sebelum ini, kes berkenaan menggemparkan India apabila penduduk setempat mendakwa remaja terbabit menjadi mangsa rogol.

Kemiskinan di daerah berkenaan dikaitkan dengan insiden berkenaan apabila kebanyakan rumah tidak dilengkapi dengan tandas sempurna.

Keadaan itu memaksa penduduk kampung meredah gelap jika ingin membuang air pada waktu malam dan terdedah kepada serangan penjenayah.

Waris mendakwa remaja terbabit dirogol lelaki berkasta tinggi.

Polis menahan lima lelaki selepas keluarga remaja berkenaan menuduh pihak berkuasa gagal bertindak kerana mereka datang daripada kasta yang lebih rendah.

Bagaimanapun, kelima-lima lelaki terbabit dibebaskan tidak lama kemudian.

Persatuan Demokratik Wanita India pula berkata, banyak persoalan yang masih tidak terjawab.

Pegawainya berkata, CBI cuba menyembunyikan kebenaran kerana tidak mahu bersusah payah mencari pesalah.

“CBI juga enggan menyiasat mengapa mereka dibunuh,” katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 November 2014 @ 5:02 AM