KANAK-KANAK berusia tiga tahun yang dilarikan bertemu dengan ibunya di Balai Polis Tapah. FOTO ihsan pembaca
KANAK-KANAK berusia tiga tahun yang dilarikan bertemu dengan ibunya di Balai Polis Tapah. FOTO ihsan pembaca
Muhammad Apendy Issahak


Ipoh: Seorang kanak-kanak perempuan dilarikan penjenayah selepas kereta dinaiki bersama ibunya disamun di depan sebuah kedai di Taman Perpaduan Tambun, Ipoh pagi tadi.

Dalam kejadian 11 pagi itu, kanak-kanak terbabit dikatakan ditinggalkan dalam kenderaan dipandu ibunya yang ke kedai untuk membeli santan, sebelum seorang lelaki bertindak mencuri kereta jenis Proton Waja terbabit.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, siasatan awal pihaknya mendapati ibu kanak-kanak itu meninggalkan anak kecilnya dalam kereta tanpa mematikan enjin dan masuk ke kedai untuk membeli barang.

"Sebaik keluar dari kedai dan ingin memasuki semula keretanya, seorang lelaki secara tiba-tiba menolaknya dan masuk ke dalam kereta sebelum memecut laju.

"Anak wanita terbabit yang berada dalam kerera turut dilarikan," katanya ketika ditemui hari ini.

Menurutnya, kanak-kanak terbabit bagaimanapun ditemui ditinggalkan di tepi jalan di sebuah taman perumahan di Tapah kira-kira sejam kemudian.

"Kanak-kanak berkenaan kemudian diserah ke Balai Polis Tapah oleh seorang penduduk taman, sebelum ibu bapanya mengambil anak mereka kira-kira jam 1.30 petang tadi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mac 2016 @ 5:34 PM