Mohamad Hussin


Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) terus menjalinkan hubungan dengan Harian Metro (HM) melalui lawatan penghargaan agensi itu ke Balai Berita, The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) Bangsar, baru-baru ini.

Rombongan FRIM yang diketuai Ketua Pengarahnya Datuk Dr Abd Latif Mohmod meluangkan masa lebih tiga jam beramah mesra dengan pengurusan kanan HM diketuai Timbalan Pengarang Kumpulannya, Ahmad@Salim Bachok.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan) FRIM Dr Ismail Harun, Ketua Komunikasi Korporat (CCU) FRIM Norhayati Nordin dan 18 pegawai serta kakitangannya.

Sempena lawatan itu, Abd Latif dan Ahmad turut menanam pokok susun kelapa atau sisik kelah sumbangan FRIM di halaman Balai Berita.

HM melalui sisipan Agro banyak menyiarkan laporan mengenai penyelidikan dan kejayaan FRIM dalam melestarikan sumber alam sekitar di negara ini.

Abd Latif berkata, lawatan itu bagi memberi penghargaan kepada HM kerana membantu pihaknya memupuk kesedaran alam sekitar dalam kalangan masyarakat.

“Peranan akhbar ini sangat penting dalam menyalurkan maklumat kepada orang ramai mengenai FRIM. Saya berterima kasih kepada HM kerana menyiarkan berita penyelidikan dan kejayaan FRIM sejak ia ditubuhkan.

“Lawatan ini juga adalah platform terbaik untuk kami lebih memahami mengenai operasi media dan pada masa sama melihat kerjasama yang boleh dilakukan antara kedua-dua pihak.

“FRIM sedia membantu HM mendapatkan maklumat berkaitan perhutanan terutama membabitkan masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Ahmad berkata, HM memberi ruang kepada pegawai dan kakitangan FRIM menterjemahkan hasil penyelidikan dan kejayaan mereka melalui penyiaran artikel di akhbar ini.

“Kami berharap kerjasama ini dapat diteruskan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mac 2016 @ 10:47 AM
AHMAD (kiri) dan Abd Latif menanam pokok susun kelapa.
AHMAD (kiri) dan Abd Latif menanam pokok susun kelapa.
AHMAD (berdiri lapan dari kiri) dan Abd Latif (tengah)
AHMAD (berdiri lapan dari kiri) dan Abd Latif (tengah)