Muhamaad Razis Ismail

Kuala Krai: Lelaki yang dikhuatiri sesat di Taman Negeri Gunung Stong di sini, malam semalam ditemui selamat jam 8 pagi tadi.

Mohd Ramzan Mohd Ghazali, 33, ditemui selamat di kaki Gunung Ayam oleh pemandu arah yang membawa kumpulan pendaki seramai 164 orang.

Difahamkan mangsa terpisah daripada rakannya yang lain dalam perjalanan ke Gunung Ayam sebelum menghubungi bomba untuk bantuan pada 7 malam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai Mohd Hanif Che Khalid ketika dihubungi berkata, sebelum operasi mencari dijalankan pihaknya berjaya menghubungi mangsa semula pada jam 10 malam tadi.

Katanya, mangsa memaklumkan dia berada dalam keadaan selamat.

"Kami kemudian berjaya menghubungi pemandu arah yang berada di puncak Gunung Ayam untuk memaklumkan perkara itu.

"Pagi tadi, saya dimaklumkan pemandu arah sudah menemui mangsa dalam keadaan selamat sebelum mereka meneruskan misi mendaki Gunung Stong," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Mac 2016 @ 2:59 PM