BANDAR SUNWAY 09 MAC 2016. President REHDA, Datuk Seri FD Iskandar during the Media Briefing 2H 2015 and Marketing Outlook 2016 at Sunway Resort Hotel & Spa. NSTP/YAZIT RAZALI
BANDAR SUNWAY 09 MAC 2016. President REHDA, Datuk Seri FD Iskandar during the Media Briefing 2H 2015 and Marketing Outlook 2016 at Sunway Resort Hotel & Spa. NSTP/YAZIT RAZALI
Nabil Basaruddin


Petaling Jaya: Industri hartanah tempatan pada separuh kedua 2015 kekal mencabar dengan sentimen pembeli yang dipengaruhi oleh faktor domestik seperti lokasi, harga jualan rumah dan permintaan bagi unit rumah kediaman.

Bagaimanapun, sektor berkenaan turut menunjukan perkembangan positif yang minimum dengan 5,195 unit hartanah dijual berbanding 4,371 unit yang direkodkan pada separuh pertama tahun lalu.

Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Datuk Seri FD Iskandar FD Mansor berkata, pretasi jualan separuh tahun kedua 2015 juga jauh lebih baik berbanding 2,951 unit yang dijual pada tempoh sama tahun sebelumnya.

"Industri hartanah masih berdepan pelbagai cabaran dan kini berada dalam situasi menguji pasaran termasuk dari aspek ekonomi, pasaran hartanah dan pinjaman perumahan.

"Namun begitu, prestasi jualan sedikit positif pada separuh tahun kedua tahun lalu walaupun pelancaran unit baru susut kepada 9,938 unit berbanding 10,829 unit separuh pertama tetapi lebih tinggi daripada 6,569 unit pada separuh tahun kedua 2014," katanya pada taklimat media Kaji Selidik Industri Hartanah Separuh Kedua 2015 REHDA di sini, hari ini.

Daripada jumlah jualan yang dicatatkan separuh kedua tahun lalu, komponen apartmen dan kondominium merekodkan peningkatan positif meningkat 120 peratus kepada 1,844 unit daripada 779 unit yang dijual pada separuh pertama 2015.

Prestasi memberangsangkan itu diikuti dengan jualan banglo dan villa taman dengan 158 unit dari hanya sembilan unit pada separuh pertama 2015, manakala bagi komponen unit berkembar meningkat kepada 237 unit dari 179 unit.

Selain itu, rumah kos rendah dan flat juga mencatat peningkatan dari segi jualan dengan 601 unit dijual pada separuh kedua tahun lalu daripada 466 unit pada separuh pertama, manakala teres setingkat pula meningkat kepada 616 unit dari 300 unit pada separuh pertama 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mac 2016 @ 6:08 PM