IDRIS Jusoh menjawab pertanyaan wakil media ketika meninggalkan sidang Dewan Rakyat. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
IDRIS Jusoh menjawab pertanyaan wakil media ketika meninggalkan sidang Dewan Rakyat. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Meor Riduwan Meor Ahmad


Kuala Lumpur: Dua puluh empat tokoh korporat tanah air dan antarabangsa terbabit dalam program Ketua Pegawai Eksekutif Fakulti (CEO) atau CEO@Fakulti di universiti tempatan setakat ini.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, program bermatlamat memberi pendedahan kepada pelajar mengenai dunia sebenar pekerjaan melalui sudut pandangan CEO terkemuka dan pelbagai latar belakang dari dalam dan luar negara itu terbukti berkesan.

Sehubungan itu katanya, program berkenaan akan diteruskan pada tahun ini serta diperluas membabitkan penyertaan CEO syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pegawai tinggi kerajaan.

"Antara keberhasilan program ini, mahasiswa berpeluang mengalami dunia sebenar termasuk aspek pentadbiran dan perkongsian amalan terbaik dan membolehkan pelajar berfikir lebih baik dan holistik.

"Integrasi dan sinergi antara tokoh korporat dan pakar universiti ini sekali gus meningkatkan kebolehpasaran graduan," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahmad Nazlan Idris (BN-Jeratut) yang mahu tahu pengenalan program CEO, apakah hasil dan kepakaran yang dipraktikkan itu mampu memberi impak yang besar dalam pengajaran dan pembelajaran universiti.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mac 2016 @ 5:02 PM