Adibah (kiri), Misha, Jamal dan Farah pada sidang media Minggu Setiausaha di Royale Chulan, Kuala Lumpur.
Adibah (kiri), Misha, Jamal dan Farah pada sidang media Minggu Setiausaha di Royale Chulan, Kuala Lumpur.
Ramlah Zainal


Raja pop, Datuk Jamal Abdillah sering menjayakan acara anjuran golongan korporat dan sam­butan Minggu Setiausaha.

Justeru, sesibuk mana pun merencana agenda seninya, penghibur bertaraf legenda ini tetap memenuhi undangan meraikan setiausaha yang menyokong kariernya sejak empat dekad lalu.

Apa yang menarik, buat julung kalinya, Jamal berkongsi pentas dengan penyanyi popular Misha Omar sempena sambutan Minggu Setiausaha yang akan berlangsung di Taming Sari Grand Ballroom, The Royale Chulan, Kuala Lumpur, jam 8.30 malam pada 29 April depan.

Ketika ditemui, Jamal berkata, dia tidak ada masalah bergabung dengan Misha kerana pernah mengadakan persembahan bersama sebelum ini.

“Walaupun ini gandingan pertama kami dalam persembahan Minggu Setiausaha, tidak ada masalah kerana masing-masing profesional apabila di pentas.

“Majlis juga berlangsung pada sebelah malam untuk memberi peluang bukan saja kepada golongan setiausaha dan majikan, tetapi kepada semua peminat setia kami untuk sama-sama memeriahkan acara ini,” katanya.

Mengulas mengenai persembahan, Jamal menjanjikan kelainan dan yang terbaik khusus untuk menghiburkan setiausaha, majikan serta peminatnya pada malam itu nanti.

“Acara dimulakan dengan persembahan secara duet dengan Misha menerusi lagu Sandarkan Pada Kenangan.

“Saya juga menyampaikan lima lagu popular. Saya juga tidak ada sebarang gimik, tetapi memberi peluang kepada peminat membuat permintaan lagu dan mendendangkannya tanpa iringan muzik.

“Antara lagu popular disampaikan ialah Kekasih Awal dan Akhir, Azura, Gadis Melayu dan banyak lagi,” katanya.

Acara yang bertemakan glamor selama dua setengah jam itu anjuran Music Messee Production serta menampilkan Adibah Noor selaku pengacara.

Persembahan mereka juga diiringi pemuzik di bawah pimpinan Helen Yap.

Hadir sama, Pengurus Perhubungan Awam, Hotel The Royale Chulan, Kuala Lumpur, Farah Halim.

Misha janjikan yang terbaik walaupun hamil

Pasti ramai sudah mengetahui Misha, 34, kini hamil anak pertama hasil perkongsian hidup dengan Firos Ezzwan Rossly, 34.

Walaupun mengandung, Misha tetap menjanjikan yang terbaik pada persembahan sempena sambutan Minggu Setiausaha itu.

“Ini pengalaman pertama saya membuat persembahan ketika hamil. Diharap semua berjalan lancar dan saya bertenaga pada acara itu nanti.

“Setakat ini, saya tidak ada alahan dan kandungan juga sihat,” katanya.

Misha berkata, kali terakhir dia terbabit dengan persembahan Minggu Setiausaha ialah pada 2006.

“Saya juga akan menghiburkan tetamu dengan rangkaian lagu popular secara medley seperti Bunga Bunga Cinta, Adam dan Hawa dan banyak lagi,” katanya.

Harga tiket bergantung kepada pakej yang ditawarkan iaitu VVIP, Platinum, Gold dan Silver bermula dari RM5,500 hingga RM7,500.

Tempahan meja atau maklumat lanjut boleh menghubungi Music Messee Production menerusi [email protected].

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mac 2016 @ 9:07 AM