TUANKU Abdul Halim (kiri) bertitah ketika Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Parlimen ke-13. Berangkat sama, Raja Permaisuri Agong, Tuanku Haminah  (kanan). FOTO Asyraf Hamzah
TUANKU Abdul Halim (kiri) bertitah ketika Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Parlimen ke-13. Berangkat sama, Raja Permaisuri Agong, Tuanku Haminah (kanan). FOTO Asyraf Hamzah
Meor Riduwan Meor Ahmad


Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah mengalu-alukan penubuhan Jawatankuasa Khas Bagi Menangani Kenaikan Kos sara Hidup serta menambah bilangan barangan dalam senarai kenaan Cukai Barang dan Perkhidmat (GST) pada kadar sifar.

Tuanku Abdul Halim bertitah, inisiatif itu membuktikan kerajaan bersedia mendengar pandangan rakyat bagi memastikan kebajikan mereka terjamin.

"Bagi melindungi pengguna, Beta menyeru supaya tindakan tegas diambil ke atas pihak-pihak yang mengeksploitasi harga dan mengambil untung berlebihan.

"Pengguna juga harus bijak berbelanja dan membezakan antara keperluan dan kehendak serta utamakan barangan tempatan," titah baginda.

Seri Paduka bertitah demikian ketika merasmikan Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen ke-13 di Dewan Rakyat, hari ini.

Titah baginda kerajaan amat prihatin terhadap semua lapisan masyarakat khususnya kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah dan 40 pertengahan

pertengahan.

Kesejahteraan golongan terbabit, titah bagindaakan ditingkatkan melalui kenaikan kadar gaji minimum, perluasan jaringan perlindungan sosial, kemudahan pembiayaan mikro, peningkatan kemahiran serta perluasan program eRezeki dan eUsahawan.

"Menyedari kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi yang berdaya harap menjadi keperluan rakyat, kerajaan Beta akan menyediakan Internet jalur lebar berkelajuan lebih tinggi yang mampu dimiliki dan menyasarkan sekurang-kurangnya 95 peratus kawasan berpenduduk mendapat akses kepada Internet menjelang 2020.

"Demi kesejahteraan semua golongan pekerja di negara ini, kerajaan Beta sentiasa berusaha melaksana inisiatif yang boleh dijadikan penanda aras dalam menentukan tahap gaji yang sesuai berdasarkan kelayakan, kemahiran dan produktiviti," titahnya.

Tuanku Abdul Halim bertitah, sehubungan itu kesejahteraan golongan pekerja dapat dipertingkatkan bagi membolehkan mereka menjalani kehidupan yang selesa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mac 2016 @ 3:40 PM