Rosnah (tengah) menyaksikan pertukaran MoU antara Ahmad Asri (tiga dari kiri) dan Soam selepas memeterai MoU antara CIDB dan Rehda, semalam.
Rosnah (tengah) menyaksikan pertukaran MoU antara Ahmad Asri (tiga dari kiri) dan Soam selepas memeterai MoU antara CIDB dan Rehda, semalam.
Oleh Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) berbincang dengan SME Bank Bhd (SME Bank) dalam memperincikan syarat memperoleh pinjaman RM500 juta yang diperuntukkan kerajaan dalam Bajet 2016 untuk mengalakkan penggunaan Sistem Pembangunan Industri (IBS) dalam kalangan pemain industri pembinaan dan perumahan.

IBS yang diperkenalkan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) sejak 2006 adalah langkah dilaksanakan kerajaan menerusi lembaga berkenaan untuk mengurangkan kos dan mempercepatkan tempoh pembinaan projek.

Timbalan Presiden Rehda, Datuk Soam Heng Choon berkata, antara perkara dibincangkan ialah mengenai kadar faedah pinjaman dan had maksimum diberikan sebelum diagihkan kepada pemain industri dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata, antara isu dibangkitkan pemain industri mengenai penggunaan IBS ialah kos pembelian sistem itu yang dilihat tinggi berikutan permintaan melebihi pengeluaran.

“Sekiranya IBS dikeluarkan banyak pihak ia boleh mengurangkan kos pembelian yang kini permintaannya meningkat memandangkan projek kerajaan diwajibkan mengguna pakai sistem itu sebanyak 70 peratus.

“Ketika ini, penggunaan IBS untuk projek swasta masih rendah dan tidak diwajibkan berbanding kerajaan berikutan bekalan sistem masih tidak mencukupi dan menelan kos tinggi,” katanya selepas majlis menandatangani perjanjian Memorandum Kerjasama (MoC) Rehda dan CIDB untuk melaksanakan Alat Pengurangan Karbon serta Kelestarian Alam Sekitar Malaysia (MyCREST) di sini, semalam.

Pada majlis perjanjian disaksikan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, CIDB diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ir Ahmad Asri Abdul Hamid dan Rehda oleh Soam.

Kerjasama itu menggalakkan ahli Rehda mempraktiskan amalan rendah karbon dalam projek dilaksanakan.

Pada peringkat permulaan, 20 syarikat berikrar melaksanakan MyCREST dalam pelbagai projek yang bakal dibangunkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mac 2016 @ 6:54 AM